Lebih 40% wilayah Gaza tertakluk arahan pindah Israel, kata PBB

Lebih 40% wilayah Gaza tertakluk arahan pindah Israel, kata PBB

Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata lokasi penempatan semula di Beit Hanoun, Izbat Beit Hanoun dan Beit Lahiya kini hampir kosong.

PBB berkata sejak peningkatan semula permusuhan Mac lalu dianggarkan lebih 632,000 penduduk Gaza terpaksa melarikan diri semula. (Gambar EPA Images)
HAMILTON:
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pengeboman berterusan Israel dan arahan pemindahan baharu memberi kesan buruk kepada orang awam di Gaza, dengan lebih 40% wilayah itu kini tertakluk kepada arahan pemindahan.

Memetik kenyataan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata pihaknya menegaskan peningkatan operasi kemanusiaan amat penting bagi mengelakkan kebuluran dan memenuhi keperluan semua orang awam, di mana jua mereka berada.

“Semalam (Isnin), satu lagi arahan pemindahan dikeluarkan Israel melibatkan kira-kira 155km persegi di Rafah, Khan Younis dan Gaza Tengah serta menjejaskan lebih 60 kejiranan. Ini mewakili lebih 40% Semenanjung Gaza.”

Beliau berkata, lokasi penempatan semula di Beit Hanoun, Izbat Beit Hanoun dan Beit Lahiya kini hampir kosong, manakala penduduk di Khan Younis terus terdedah pelbagai elemen dan keletihan fizikal selepas berjalan jauh tanpa makanan.

“Sejak peningkatan semula permusuhan pada Mac, rakan-rakan kemanusiaan kami menganggarkan lebih 632,000 orang terpaksa melarikan diri sekali lagi.”

Mengenai perkhidmatan kesihatan semakin merosot, Dujarric berkata: “Sejak Isnin lalu, lebih dua dozen pusat kesihatan dan klinik bergerak serta sebuah hospital menggantung perkhidmatan mereka akibat pertempuran, serangan atau arahan pemindahan.”

Beliau mengulangi gesaan semua pintu sempadan dibuka bagi kemasukan bantuan dan barangan komersial.

“Undang-undang antarabangsa mesti dihormati dan operasi kemanusiaan perlu dibenarkan tanpa sebarang kelewatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.