Menteri jangka pembekuan pekerja Bangladesh tamat bulan depan

Menteri jangka pembekuan pekerja Bangladesh tamat bulan depan

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, kajian semula moratorium itu kini di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan dalam sebulan, dua ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.
KUALA LUMPUR:
Moratorium penghantaran tenaga pekerja dari Bangladesh ke Malaysia dijangka ditarik balik seawal bulan depan, kata Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

“Kajian semula moratorium itu kini di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan dalam sebulan, dua ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Peladang Antarabangsa ke-9 pada Isnin.

Penggantungan penghantaran pekerja Bangladesh ke negara menjejaskan beberapa industri utama negara, khususnya sektor perladangan serta pembinaan, dan keputusan menarik balik moratorium itu dijangka meredakan masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor itu.

September tahun lalu, Putrajaya menggantung Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) bagi pekerja Bangladesh, yang hanya membenarkan proses pengambilan dilakukan 10 agensi terpilih diluluskan kerajaan terdahulu.

Menerusi sistem itu, pekerja Bangladesh perlu membayar sehingga RM20,000 sebagai yuran pemprosesan kepada ejen bagi memudahkan kelulusan permit kerja dan urusan lain di Malaysia.

Minggu lalu, Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad dalam lawatan kerja 3 hari ke Kuala Lumpur, berkata negaranya menjangkakan persetujuan dicapai dengan Malaysia bulan depan mengenai mekanisme baru pengambilan pekerja Bangladesh.

Beliau menganggarkan kira-kira 400,000 pekerja Bangladesh kini bekerja secara sah di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.