
Dengan kira-kira 5,000 pekerja dibawa dari Dhaka sejak beberapa hari lalu, Andy Hall berkata beliau terima laporan ramai dalam kalangan mereka di bawa ke kediaman sementara yang sesak, ketika ejen mencari majikan yang dinamakan dalam permit mereka.
Di Bangladesh, menurutnya, terdapat laporan sekurang-kurangnya 10,000 hingga 30,000 pekerja berdokumen terlepas tarikh akhir untuk mendarat di Kuala Lumpur disebabkan tiada penerbangan atau taufan yang melanda negara itu beberapa hari lalu.
“Kesesakan di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sepanjang tiga hari lalu sudah jelas dengan sendirinya. Ramai yang terkandas ketika majikan mereka tidak dapat dikesan.
“Namun masalah terbesar yang pihak berkuasa Malaysia harus bimbang ialah pekerja Bangladesh ditipu dan mendarat tanpa pekerjaan. Di Dhaka terdapat laporan sindiket membawa pekerja menggunakan cara yang mencurigakan untuk mendapatkan permit,” katanya kepada FMT.
Hall mendakwa beliau melihat surat daripada pegawai imigresen di KLIA mengatakan kerajaan tidak akan melanjutkan tarikh akhir, bererti mereka yang tiba esok akan dihantar pulang kerana permit mereka akan dianggap luput.
“Mereka juga sudah menasihatkan semua penerbangan untuk tidak membenarkan pekerja dengan permit kerja menaiki penerbangan dari Dhaka esok kerana dokumen mereka dianggap luput. Ini bererti kira-kira 10,000 hingga 30,000 pekerja Bangladesh akan dalam kesulitan.
“Sumber-sumber di Dhaka berkata mereka membayar sejumlah wang yang banyak kepada ejen dengan wang yang dipinjam pada kadar faedah yang tinggi, untuk bekerja di Malaysia. Dengan perkembangan ini, hidup mereka akan punah dan terjerumus ke dalam hutang,” katanya.
Hall berharap kerajaan akan mempertimbangkan nasib pekerja-pekerja terkandas ini dan berikan lanjutan secara ‘one-off’ agar mereka boleh datang ke Malaysia sepertimana dirancang, dan siasatan berkaitan pemerdagangan manusia boleh dijalankan apabila mereka tiba.
Katanya, sokongan mesti diberikan jika didapati ada berlaku penderaan dan pemerasan.
Semalam, Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh, berkata berlaku kadar peningkatan kemasukan pekerja asing disebabkan tindakan majikan yang membawa masuk pada saat akhir menjelang 31 Mei.