Kes 171 warga Bangladesh tiada kerja, KSM akan panggil ejen

Kes 171 warga Bangladesh tiada kerja, KSM akan panggil ejen

Menteri sumber manusia akan menemui menteri dalam negeri untuk berbincang bagi menambah baik dasar pekerja asing dalam masa terdekat.

Tangkap layar video tular 171 pekerja Bangladesh berjalan kaki kira-kira 10km dari asrama mereka ke Balai Polis Bayu Damai bagi membuat laporan tidak ditawarkan kerja oleh ejen sejak tiga hingga enam bulan lalu.
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang menyiasat kes 171 pekerja Bangladesh gagal mendapatkan pekerjaan di negara ini.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong mengarahkan agensi di kementeriannya menyiasat segera, termasuk memanggil ejen terbabit dalam pengambilan pekerja asing itu yang ditempatkan di Bayu Damai Teluk Ramunia, Johor.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kejadian tersebut dan saya juga akan bertemu Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail untuk berbincang dan menambah baik dasar berkaitan pekerja asing dalam masa terdekat ini,” katanya menurut Bernama di George Town hari ini.

Beliau ditemui selepas menziarahi keluarga pekerja penyelenggara lif, R Tinesh Kumar yang meninggal dunia selepas kepalanya tersepit ketika menyelenggara lif di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Burma, George Town Selasa lalu.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu mengulas isu 171 pekerja Bangladesh dibawa masuk ejen, tetapi tiada pekerjaan untuk mereka selepas tiga bulan ke negara ini.

Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati warga asing yang memiliki dokumen sah itu berjalan kaki ke Balai Polis Bayu Damai, kira-kira 10km dari asrama mereka, bagi membuat laporan mendakwa tidak ditawarkan kerja oleh ejen sejak tiga hingga enam bulan lalu.

Katanya, polis menerima laporan berkaitan kejadian daripada Angkatan Tentera Malaysia dan semuanya ditahan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Tindakan 171 lelaki Bangladesh berjalan kaki beramai-ramai di Bayu Damai, Teluk Ramunia menimbulkan kegusaran penduduk tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.