Lantikan Najib isu dalaman BN, bukan PAS, kata Takiyuddin

Lantikan Najib isu dalaman BN, bukan PAS, kata Takiyuddin

Takiyuddin Hassan berkata PAS tidak akan menyentuh isu dalaman BN dan hanya fokus kepada agenda penyatuan ummah.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
KUALA LUMPUR:
PAS berpandangan lantikan bekas presiden Umno Najib Razak sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) tidak akan memberi tanggapan negatif kepada penyatuan ummah melibatkan kedua-dua parti itu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana lantikan itu tertakluk kepada urusan dalaman parti tersebut dan tidak menjadi kebimbangan dalam pentadbiran PAS.

“Apabila kita buat penyatuan ummah, kita tidak akan sentuh isu dalaman parti masing-masing.

“Jadi sama ada dia nak lantik siapa sahaja dalam parti mereka, itu tidak menjadi kegusaran kita.

“Apa yang kita tumpukan adalah agenda penyatuan ummah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, FMT melaporkan bekas setiausaha agung BN, Nazri Aziz mempersoal lantikan Najib sebagai penasihat gabungan itu dengan berkata: “BN kalah bawah siapa? Apa jenis nasihat yang dia boleh sumbangkan kepada kita?”

Takiyuddin berkata, setakat ini, pemimpin PAS tidak mempersoal lantikan tersebut kerana berpendirian tidak menyentuh isu dalaman parti itu.

“Jadi kami ambil keputusan untuk tidak masuk campur dan tidak sentuh langsung urusan dalaman parti mereka,” katanya.

Pada Isnin, Dewan Tertinggi BN sebulat suara melantik Najib sebagai pengerusi penasihatnya untuk membantu BN mendapatkan kembali sokongan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.