Retorik solo Umno tak cukup tanpa ‘poster boy’ setanding Sanusi, kata penganalisis

Retorik solo Umno tak cukup tanpa ‘poster boy’ setanding Sanusi, kata penganalisis

Hisommudin Bakar berkata Umno Kedah perlu tampil kepimpinan mampu menyaingi pengaruh Sanusi Nor yang mempunyai kelebihan ketika ini.

GRAND FINALE PN - BIDOR
Sanusi Nor mempunyai kelebihan dari segi visibiliti dan naratif kepimpinan yang perlu diatasi Umno Kedah, menurut Hisommudin Bakar.
PETALING JAYA:
Umno Kedah tidak boleh hanya bergantung kepada slogan bertanding solo untuk memulihkan sokongan, sebaliknya perlu membuktikan kekuatan sebenar dengan menampilkan calon mampu menyaingi populariti Menteri Besar Sanusi Nor, kata penganalisis.

Hisommudin Bakar berkata Umno Kedah perlu menilai secara menyeluruh ekosistem politik negeri itu, termasuk sokongan, kekuatan lawan dan perubahan demografi pengundi, jika benar-benar mahu menjadikan strategi solo sebagai pilihan praktikal.

Hisommudin Bakar
Hisommudin Bakar.

Menurut pengarah eksekutif Ilham Centre itu, parti terbabit bukan sahaja perlu memahami faktor penolakan tetapi juga membina faktor penarik untuk mendapatkan semula sokongan pengundi Melayu yang beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

“Pemilihan calon kompeten dan berwibawa juga menjadi faktor kritikal kerana pengundi kini semakin cenderung menilai kredibiliti individu selain daripada parti.

“Umno Kedah juga perlu menampilkan kepimpinan negeri atau ‘poster boy’ mampu menyaingi pengaruh Sanusi yang ketika ini mempunyai kelebihan dari segi visibiliti dan naratif kepimpinan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang mahu parti itu membawa usul bertanding solo pada PRU akan datang bagi membolehkan Umno kembali berdiri atas kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada gabungan lain.

Cadangan bertanding solo dilihat sebagai respons kepada prestasi hambar gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Kedah pada PRN 2023 lalu, apabila hanya memenangi tiga kerusi di Kedah – dua menerusi PKR (Bakar Arang dan Sidam) dan satu menerusi DAP (Kota Darul Aman).

PN diketuai PAS mengungguli PRN Kedah dengan menawan 33 kerusi dan Sanusi kekal sebagai menteri besar.

Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting menyifatkan idea bertanding solo sebagai langkah yang bercanggah dengan realiti politik semasa.

“Data menunjukkan sokongan Umno masih lemah, solo bukan strategi sebaliknya berisiko mengulangi kegagalan,” katanya merujuk keputusan PRN Kedah 2023 yang menyaksikan BN gagal memenangi sebarang kerusi.

Menurutnya, alasan ‘ikut sentimen setempat’ dalam menentukan hala tuju parti juga tidak mencukupi tanpa kekuatan jentera, calon berwibawa dan kepimpinan negeri yang mampu menyaingi pengaruh sedia ada.

“Bertanding solo bukan jalan keluar daripada bayang ‘UmDAP’ sebaliknya jalan buntu menjerumuskan parti ke jurang lebih dalam,” katanya merujuk kepada label kerjasama Umno dan DAP yang dilaungkan lawan.

“Umno Kedah mahu berdiri sendiri, tetapi hakikatnya sedang rebah sendirian dan sekadar ilusi keberanian yang menelanjangkan kelemahan parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.