
Namun Afifi Abdul Razak dari Universiti Utara Malaysia itu memberi amaran kelewatan mengambil tindakan juga boleh menimbulkan persepsi kurang ketegasan terhadap ahli menjejaskan imej parti.
Bercakap kepada FMT, Afifi berkata pendirian Anwar itu boleh difahami ketika negara berdepan krisis global tenaga yang lebih meruncing kerana membabitkan ekonomi dan kesejahteran jangka panjang rakyat.
“Kenyataan Anwar mahu tumpu masalah ekonomi negara lebih serius berbanding masalah peribadi menggambarkan beliau seorang pemimpin yang mampu mengasingkan keutamaan nasional daripada tekanan dalaman parti,” katanya.
Anwar semalam menggesa pemimpin parti yang mendesak tindakan diambil terhadap Rafizi supaya bertenang.
Beliau yang juga perdana menteri berkata beliau lebih memberi tumpuan kepada isu yang menjejaskan ekonomi negara berbanding konflik dalaman parti.
Rafizi dilaporkan lantang mengkritik kerajaan dan PKR sejak kalah perebutan jawatan timbalan presiden serta melepaskan jawatan menteri ekonomi pada Mei tahun lalu.
Minggu lalu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR A Kumaresan gesa tindakan diambil terhadap Rafizi dengan mendakwa Ahli Parlimen Pandan itu melemahkan parti.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula berkata kritikan Rafizi berisiko membuka persepsi negatif dan menjejaskan PKR jika tidak ditangani dengan baik.
Menurutnya, ada beberapa contoh ketidakmampuan menangani ‘suara lain’ dengan baik telah menyebabkan perpecahan lebih buruk dalam parti.
“Sejarah menunjukkan contoh jelas Parti Buruh di United Kingdom (UK) di era Jeremy Corbyn yang gagal mengawal perpecahan dalaman lalu hilang keyakinan pengundi.
“Begitu juga Umno pasca 2018, apabila suara bercanggah tidak ditangani dengan disiplin, parti dilihat rapuh dan hilang arah,” katanya.