
Marzuki Mohamad berkata, walaupun naratif sedemikian membantu meningkatkan sokongan Melayu secara keseluruhan, ia tidak cukup untuk menang pilihan raya nasional, sekali gus membentuk kerajaan.
Beliau berkata, PN menang semua kerusi dengan majoriti besar pengundi Melayu pada PRU15, namun tetap tidak dapat membentuk kerajaan.
Marzuki berkata, medan tempur utama bagi membolehkan PN menang PRU16 adalah kerusi di mana pengundi Melayu membentuk majoriti lebih kecil, iaitu antara 51-65% daripada jumlah pengundi.
Katanya, kebanyakan kerusi berkenaan terletak di kawasan Pantai Barat Semenanjung.
“Pada PRU15, Pakatan Harapan (PH) mendominasi kerusi-kerusi ini dengan memenangi 22 kerusi. Barisan Nasional (BN) menang sembilan kerusi dan PN empat kerusi.
“Sokongan Melayu kepada PN di negeri-negeri Pantai Barat dianggarkan sekitar 60%. Ini anggaran konservatif. Yang selebihnya adalah penyokong BN, PH, dan atas pagar,” katanya dalam catatan di Facebook.
Sekiranya PN berjaya memperoleh 60% sokongan Melayu di kerusi berkenaan, Marzuki berkata, gabungan itu hanya akan mendapat 30-40% daripada jumlah keseluruhan undi.
Jika PN terpaksa berdepan pertembungan langsung menentang pakatan PH-BN, gabungan pembangkang itu akan tewas di semua kerusi tersebut, katanya.
“Kecuali sokongan Melayu kepada PN dapat ditingkatkan ke 80%, PN boleh menang paling banyak 10 kerusi dalam kategori ini.
Tetapi ini pun ‘a tall order’ (sukar).
“Di negeri-negeri Pantai Barat, PH telah mempunyai penyokong Melayu tegar sekitar 15-20%.
“Naratif anti-DAP dan penyatuan ummah tidak menggoncang sokongan mereka kepada PH. Mereka telah mengundi PH berpuluh tahun.
“Umno juga masih mempunyai penyokong Melayu tegar sekitar 20-25% di negeri-negeri ini. Yang lain telah berpindah menyokong PN dalam PRU15.”
Marzuki berkata, ini bermakna PN tidak boleh bergantung kepada sokongan orang Melayu semata-mata untuk menang kerusi campuran terbabit, memandangkan undi bukan Melayu terbukti penting menentukan pemenang.