Lelaki maut tertembak diri ketika cuci senapang patah

Lelaki maut tertembak diri ketika cuci senapang patah

Polis berkata, mangsa dipercayai sedang mencuci senapang patahnya dalam keadaan duduk di kerusi sebelum tertembak dirinya di sebelah kiri bawah dagu.

Polis berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
ALOR SETAR:
Seorang peniaga maut tertembak diri dalam kejadian di Kampung Perlis Simpor, Tikam Batu dekat Sungai Petani semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzly Abu Shah berkata kejadian berlaku pada 5.50 petang ketika mangsa yang berusia 59 tahun itu sedang mencuci senapang patah miliknya di beranda rumahnya.

Adzly berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, isteri mangsa melihat suaminya membawa keluar senjata bersama peralatan mencuci senjata di beranda rumah.

“Berselang 5 minit kemudian, isteri mangsa mendengar bunyi tembakan dan meluru keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut melihat suaminya tersembam di atas lantai.

“Apabila diperiksa, mangsa didapati tidak bermaya dalam keadaan memeluk senjata di celah kelangkangnya dan barrel (laras) senjata ke arah dagu,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, berdasarkan kedudukan mayat dan kecederaan mangsa dipercayai sedang mencuci senjata dalam keadaan duduk di kerusi, sebelum tertembak dirinya di sebelah kiri bawah dagu.

Adzly berkata, siasatan mendapati mangsa turut memiliki lesen pemilikan senjata api bagi tujuan mencegah musuh tanaman dan baru memperbaharui lesen 25 Jun lalu.

“Kita juga dapati terdapat 3 kelongsong peluru, di luar senjata ada 2 kelongsong, iaitu satu kelongsong hidup dan satu lagi kosong, manakala dalam ‘chamber’ ada satu kelongsong hidup.”

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.