
Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata, siasatan lanjut itu juga turut melibatkan ketua polis daerah tersebut.
“Siasatan ke atasnya dijalankan sebab beliau yang memiliki pistol berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali dan Adun Kawang Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Jauteh berkata, siasatan juga masih belum dapat membuat sebarang kesimpulan sama ada kes tersebut mempunyai kaitan dengan kecuaian atau tidak.
“Itu yang kita belum dapat buat keputusan … selagi belum ada laporan penuh hasil siasatan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga belum ada keputusan sama ada ketua polis daerah berkenaan digantung tugas memandangkan siasatan masih berjalan.
Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik di rumahnya di Taman Tabanak, Lahad Datu pada 16 April, disebabkan tembakan di dada sebelah kanan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Shahurinain Jais berkata, hasil siasatan mendapati hanya satu das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu.