Peniaga mengaku tak salah ugut bunuh 5 remaja, lepas tembakan

Peniaga mengaku tak salah ugut bunuh 5 remaja, lepas tembakan

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan perlu melaporkan diri di pejabat polis terdekat serta dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Yusooff Salleh dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Nerang hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang peniaga kedai runcit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Nerang atas pertuduhan mengugut hendak menyebabkan kematian lima remaja dan menggunakan senjata api di tempat tidak dibenarkan.

Sinar Harian melaporkan Yusooff Salleh, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurul Huda Idris.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak menyebabkan kematian lima remaja berusia 15 serta 16 tahun di kedai makan dan runcit Yusooff NBY Bagan Jalan Nami, Naka kira-kira 11 pagi 27 Jan lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melepaskan tembakan menggunakan senapang patah Fair Premier di tempat tidak dibenarkan secara bertulis untuk digunakan sebagai padang tembak oleh ketua polis negeri pada tarikh, lokasi dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih setahun, denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Nordien tidak mencadangkan jaminan buat tertuduh.

Tetapi, peguam Murtazadi Amran memohon jaminan diberikan atas alasan tertuduh belum dibuktikan bersalah serta menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan perlu melaporkan diri di pejabat polis terdekat serta dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan 4 Mac ini.

Sebelum ini, tertuduh dipercayai memanggil lima remaja terbabit selepas mengesyaki mereka mencuri RM5,000 dari kedainya.

Dia didakwa memaki hamun remaja itu dan menuduh mereka mencuri wang serta melepaskan empat das tembakan ke udara untuk mengugut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.