Warga emas didenda RM6,000 miliki senapang patah, 108 peluru

Warga emas didenda RM6,000 miliki senapang patah, 108 peluru

Warga emas itu dilaporkan ditahan bersama senjata api tanpa permit disyaki digunakan untuk memburu haiwan secara haram di sekitar Kota Tinggi minggu lalu.

Tertuduh Omar Busari dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas dua pertuduhan memiliki senapang patah dan lebih 100 butir peluru tanpa permit minggu lalu.

Harian Metro melaporkan Omar Busari, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didapati memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan 108 butir peluru “buckshot” (12 bore) tanpa lesen atau permit senjata di Nombor 42 Ladang Pasir Panjang, Kota Tinggi, pada 12 tengah hari 21 Feb lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan warga emas itu ditahan bersama senjata api disyaki digunakan untuk memburu haiwan secara haram di sekitar Kota Tinggi.

Ketua Polis Kota Tinggi, Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya menahan dua lelaki berumur 65 dan 39 tahun serta merampas beberapa senjata api dan komponen berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.