Cuba takutkan pencuri, pekebun durian maut tertembak diri sendiri

Cuba takutkan pencuri, pekebun durian maut tertembak diri sendiri

Mangsa ditemukan maut oleh adik iparnya di kebun selepas tidak pulang ke rumah menjelang 9 malam.

durian
Adik mangsa membuat laporan polis mengenai kematian abangnya di kebun durian semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas maut dipercayai tertembak diri sendiri ketika cuba menakutkan pencuri di kebun duriannya di Kuala Klawang, Jelebu, semalam.

Lelaki berusia 67 tahun ditemukan adik iparnya dalam keadaan terbaring tidak bernyawa di atas tanah dengan kesan tembakan pada dada.

Memetik sumber, Sinar Harian melaporkan mangsa pergi ke kebunnya kira-kira 5 petang, namun lazimnya akan pulang kira-kira 7 malam.

Bagaimanapun, apabila dia masih belum pulang pada 9 malam, isterinya mula berasa bimbang.

“(Isterinya) kemudian memaklumkan perkara itu kepada adik iparnya yang kemudian pergi ke kebun untuk mencari mangsa,” menurut sumber.

Dalam pada itu, Ketua Polis Jelebu Azizan Said berkata, laporan polis dibuat oleh keluarga mangsa pada 10.45 malam tadi.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa pergi ke kebun durian miliknya yang berkeluasan 2.02 hektar seorang diri sejak pagi semalam dan tidak pulang ke rumah sehingga petang.

“Berdekatan lelaki itu ditemukan senjata api buatan sendiri dibuat daripada kayu,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.