Suap pegawai Imigresen, syarikat kitar semula didenda RM50 ribu

Suap pegawai Imigresen, syarikat kitar semula didenda RM50 ribu

Seksyen 17 (b) Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Tertuduh Hong Bak Chai mengaku bersalah memberi suapan sebanyak RM10,000 kepada seorang pegawai Imigresen di Sungai Petani 15 Jan lepas. (Gambar APF)
ALOR SETAR:
Seorang pengusaha syarikat kitar semula barangan plastik dijatuhi hukuman denda RM50,000 dan sehari penjara di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merasuah seorang pegawai Imigresen Januari lepas.

Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Hong Bak Chai, 61, mengaku bersalah memberi suapan sebanyak RM10,000 kepada seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia Kedah, Rozli Had, di sebuah syarikat di Sungai Petani pada 1.22 petang, 15 Jan lepas.

Hong didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan pendakwa raya SPRM, Tan Sew Ping berkata, walaupun Hong mengaku bersalah, pihak mahkamah harus memberi hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana rasuah merupakan kesalahan jenayah yang sangat serius.

Peguam tertuduh, Ang Chun Pun bagaimanapun merayu agar mahkamah memberi hukuman selayaknya kerana anak guam beliau telah menjimatkan masa mahkamah, selain mengalami pelbagai masalah kesihatan dan sering mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Pendapatan tertuduh juga tidak melebihi RM5,000 sebulan dan mempunyai 4 orang anak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.