Nahas kereta api ragut 4 nyawa, lebih 100 cedera di Bangladesh

Nahas kereta api ragut 4 nyawa, lebih 100 cedera di Bangladesh

3 mayat wanita dan 1 lelaki ditemui setakat ini dan lebih 100 mangsa yang cedera dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan di hospital.

Beberapa gerabak kereta api ‘Upaban Express’ tergelincir daripada landasan menyebabkan 4 maut, manakala lebih 100 penumpang cedera. (Gambar Facebook)
DHAKA:
Sekurang-kurangnya 4 terbunuh dan lebih 100 lagi cedera dalam nahas kereta api di daerah Moulvibazar, Bangladesh pada Ahad, lapor agensi berita Anadolu.

Nahas itu menyebabkan perkhidmatan kereta api ke bahagian timur Sylhet tergendala, menurut pihak berkuasa Perkhidmatan Kebakaran dan Penerbangan Awam.

“Empat mayat, 3 wanita dan seorang lelaki ditemui setakat ini,” kata pegawai polis di Balai Polis Kulaura, Yardous Hasan.

Katanya, lebih 100 mangsa yang cedera dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan di hospital.

Seorang daripada mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Anwara Parvin.

Nahas dipercayai berlaku apabila beberapa gerabak kereta api “Upaban Express” tergelincir daripada landasan, sebaik tiba di Barochhara Canal, kira-kira 200m dari Stesen Keretapi Baramchal.

Sementara itu, pegawai kesihatan dan perancang keluarga, Dr Nurul Haque berkata angka kematian adalah seramai 7 orang dan 250 lagi cedera, lapor akhbar Jugantor.

Beberapa akhbar tempatan lain pula melaporkan angka korban seramai 5 orang.

Seramai 56 anggota dan 13 jentera bomba dihantar ke lokasi nahas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.