Kenaikan harga simen akan beban projek kerajaan, kata kontraktor

Kenaikan harga simen akan beban projek kerajaan, kata kontraktor

Kontraktor Bumiputera umumnya bergantung pada kontrak harga tetap kerajaan bagi membina sekolah, hospital, klinik kesihatan, balai polis serta balai bomba.

Kenaikan mendadak harga simen akan menyebabkan kerugian besar, kata Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan mewakili kontarktor Bumiputera memberi amaran bahawa projek kerajaan akan terlebih dahulu menerima kesan buruk sekiranya kenaikan mendadak harga simen memaksa mereka menangguhkan projek.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Azman Yusoff berkata, kontraktor Bumiputera umumnya bergantung pada kontrak berharga tetap kerajaan bagi membina sekolah, hospital, klinik kesihatan, balai polis serta balai bomba.

Beliau berkata, kenaikan mendadak harga simen akan mengakibatkan kerugian yang besar. “Ini akan menyebabkan sesetengah kontraktor terpaksa menangguhkan projek.”

Persatuan itu berkata, campur tangan segera kerajaan sangat diperlukan, dengan menggesa diadakan perbincangan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Kewangan.

Setiausaha agung persatuan, Jamaudin Non berkata, kontraktor Bumiputera berskala kecil akan teruk terbeban kerana mereka kerap membeli runcit bekalan simen yang digunakan, bukan konkrit “ready mix” secara pukal.

Jamaludin berkata, syarikat yang telah memuktamadkan tender projek masing-masing akan menghadapi kesukaran untuk meneruskannya kerana terpaksa menanggung kos tambahan.

“Bila kita masuk tender, margin keuntungan kita sangat rendah, dalam 3 hingga 5%. Kenaikan harga simen akan memberi kesan ke atas margin itu dan kami akan rugi.”

Bekas presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah, Ng Seing Leong berkata, kini “wujud satu oligopoli dalam industri simen kerana sebuah syarikat menguasai hampir 85% pasaran. Apa jadi pada Akta Persaingan dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia,” soal beliau.

Ng menjangkakan berlakunya kenaikan antara 5-10% dalam kos pembinaan, yang akan mengakibatkan harga hartanah yang lebih tinggi.

“Ini akhirnya akan dibebankan ke atas pengguna,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.