
Pengerusinya William Ng berkata, keadaan menjadi lagi buruk apabila wujudnya kos tambahan bagi pelaksanaan e-Invois dan pematuhan serta pelaporan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang akan menyusul.
Lebih-lebih lagi, dakwanya, pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan sedang meningkatkan kadar yuran dan cukai terhadap PKS
“Ramai usahawan PMKS terdesak memerlukan bantuan, tetapi tidak tahu ke mana atau bagaimana untuk mendapatkan bantuan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, walaupun prestasi ekonomi negara semakin kukuh selaras dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini, namun tidak mencerminkan realiti sebenar industri perniagaan kecil.
“Tinjauan kami mendapati 44% daripada PMKS melaporkan pertumbuhan jualan yang kukuh, tetapi dua daripada tiga menyatakan mereka mempunyai simpanan tunai kurang 6 bulan.
“Ini didorong oleh kenaikan kos bahan mentah, sewa, bayaran utiliti dan gaji. Bukan itu sahaja, kesan berantai daripada penghapusan subsidi diesel, peningkatan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan inflasi gaji susulan kekurangan tenaga kerja yang berterusan,” katanya.
“Ada PKS yang ditinjau melaporkan margin keuntungan serendah 2%, dan ramai yang mengalami kerugian walaupun jualan meningkat.”
E-invois diperkenalkan kerajaan antaranya untuk mengukuhkan sistem cukai negara selain meningkatkan ketelusan dan meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan pembayar cukai secara sukarela.
Sebagai permulaan proses penghantaran invois daripada penjual kepada pembeli dalam format elektronik bersepadu itu wajib dilaksanakan syarikat merekodkan jualan tahunan lebih RM100 juta mulai 1 Ogos depan.