
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan ini dijangka mempercepat tempoh siap projek, mengurangkan pembaziran bahan binaan serta menurunkan kos keseluruhan pembinaan.
“Selain itu, RMK13 turut menyasarkan pembinaan sejuta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun oleh pihak kerajaan dan pemaju swasta yang mengintegrasikan perumahan rakyat dengan harga lebih berpatutan,” katanya.
“Pada masa sama pembangunan berorientasikan transit (TOD) akan diperluas bagi mengintegrasikan perumahan dengan sistem pengangkutan awam. Ini peluang besar untuk kontraktor Bumiputera memainkan peranan utama dalam merealisasikan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif.”
IBS ialah kaedah pembinaan menggunakan komponen pasang siap yang dibuat di kilang dan kemudiannya dipasang di tapak pembinaan, berbeza dengan pembinaan tradisional yang memerlukan kerja-kerja dilakukan secara manual di tapak.
Sementara itu, BIM merupakan teknologi menggunakan perisian untuk mencipta model digital 3D bagi sesebuah bangunan. Model ini mengandungi maklumat terperinci mengenai struktur, sistem mekanikal, elektrikal dan paip serta maklumat lain berkaitan dengan projek.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam sempena perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-6 Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) malam ini.
Selain itu, Amir Hamzah turut melancarkan PKBM BIM Satellite Centre, satu inisiatif strategik hasil usahasama antara PKBM dengan CIDB E-Construct Services Sdn Bhd.
Pusat itu akan berfungsi sebagai pusat latihan untuk melahirkan kontraktor yang mahir dalam penggunaan teknologi BIM, teknologi pembinaan moden yang kini menjadi keperluan asas dalam projek-projek bernilai lebih RM10 juta.
“Melalui PKBM BIM Satellite Centre, para kontraktor akan dibimbing dan dilatih secara menyeluruh untuk mengaplikasikan BIM dalam setiap fasa pembinaan … daripada perancangan (dan) rekabentuk sehinggalah penyelenggaraan,” katanya.
“Inisiatif ini bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam projek tetapi juga akan mengurangkan pembaziran dan meningkatkan produktiviti secara menyeluruh sekali gus menyokong transformasi digital industri pembinaan Malaysia selaras dengan aspirasi kerajaan Madani,” katanya.