
Perdana menteri berkata amalan seperti itu tidak boleh diizinkan lagi, dan berikrar sebarang tender melibatkan mana-mana kementerian akan melalui proses yang telus.
“Amalan menggunakan peluang kononnya membantu Bumiputera dan disonglapnya wang … ini tidak boleh diizinkan. Saya nak jelaskan bahawa ada dasar untuk membantu Bumiputera,” katanya di Dewan Rakyat.
“Boleh adakan tender terhad dalam kalangan syarikat Bumiputera, itu tidak menghalang, tetapi tidak boleh guna alasan membantu Bumiputera (tetapi) meminta syarikat itu memberikan wang (kepada) peribadi atau parti, seperti mana dilakukan sebelum ini.”
Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan tambahan Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta perdana menteri menjelaskan tindakan kerajaan dalam menangani kebimbangan dan memulihkan defisit keyakinan rakyat.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, kos bagi sesetengah projek yang dilaksanakan kerajaan terdahulu terlalu tinggi, dan beberapa projek seperti dalam program Jana Wibawa diluluskan tanpa melalui proses tender.
Program Jana Wibawa merupakan inisiatif pakej rangsangan berdepan Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera yang dilaksanakan bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin.