
Inisiatif rangsangan ekonomi itu yang bertujuan membantu kontraktor Bumiputera ketika pandemik Covid-19, menjadi tumpuan susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin antara individu berdepan tuduhan rasuah dikaitkan dengan program itu yang diperkenalkan pada 2020 ketika beliau berkuasa.
Pengerusi PH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah, berkata program Jana Wibawa langkah amat baik dan tepat untuk membantu kontraktor Bumiputera berdepan kesukaran ketika pandemik yang “melumpuh dan memufliskan banyak syarikat Bumiputera”, tetapi ia gagal mencapai objektifnya.
Bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, sebagai arkitek yang pernah berurusan dengan kontraktor Bumiputera, beliau tahu ramai menaruh harapan tinggi program Jana Wibawa akan menjadi “penyelamat” mereka.
Tetapi, katanya, mereka yang mengendalikan Jana Wibawa “mengkhianati Bumiputera demi kepentingan rakus diri, biarlah berapa ramai Melayu muflis, tutup perniagaan dan dibuang kerja”.
“Lebih malang semasa Jana Wibawa dirancang dan dimulakan, Parlimen ditutup dan darurat diisytiharkan supaya tiada perbahasan di Parlimen untuk semak imbang boleh dilakukan.
“Sekali lagi di sebalik topeng ‘membantu Bumiputera’, tetapi Bumiputera juga yang dikhianati oleh pimpinan sendiri. Sampai bila nama Bumiputera, Melayu dan Islam diperalatkan untuk kepentingan individu atau kumpulan tertentu saja?
“Bangsa Melayu perlu sedar dan insaf daripada terus diperalatkan dan ditipu pemimpin sendiri bertopengkan Melayu dan Islam di bawah helah pembelaan bangsa dan agama,” katanya dalam kenyataan.
Raja Kamarul berkata, sesetengah kontraktor Bumiputera yang bergelut dari segi kewangan ketika pandemik, terpaksa menjual perniagaan, barang kemas dan harta keluarga untuk terus bertahan.
Akibatnya, beliau berkata, anak mereka terlepas peluang melanjutkan pengajian tinggi untuk membina kerjaya yang boleh membantu mereka menjaga ibu bapa kelak.
Isnin lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan memberitahu Dewan Rakyat, 67 projek berjumlah RM7.2 bilion diberikan kepada kontraktor Bumiputera bawah program Jana Wibawa ketika Perikatan Nasional berkuasa.
Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, projek Jana Wibawa bernilai RM5.7 bilion ditangguhkan untuk penelitian semula bagi memastikan ia mematuhi prosedur Perbendaharaan.