
Penggubal undang-undang Jerman meluluskan “Orderly Return Law” apabila pengundian bagi memutuskan perkara itu menyaksikan 372 menyokong, 159 menentang dan 111 berkecuali.
Majoriti penggubal undang-undang daripada Parti Demokrat Kristian (CDU/CSU) pimpinan Canselor Angela Merkel dan sekutunya, Parti Demokratik Sosial (SPD) mengundi menyokong rang undang-undang itu.
Di bawah undang-undang baru itu, pemohon suaka yang gagal dan tidak dapat membuktikan identiti mereka tidak lagi layak menerima pelbagai manfaat kewangan dan keselamatan sosial.
Pemohon suaka yang ditolak kerana membuat kenyataan palsu mengenai identiti mereka atau negara asal akan ditempatkan di pusat tahanan sementara sebelum dihantar pulang ke negara asal.
Undang-undang itu membolehkan pihak berkuasa menahan pemohon suaka yang gagal di penjara biasa, namun diasingkan daripada banduan lain.
Pembangkang Parti Hijau membantah keras undang-undang itu.
“Ini adalah hari yang amat malang kepada demokrasi kebebasan,” kata Filiz Polat dengan menegaskan langkah yang terdapat dalam undang-undang itu adalah bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang Kesatuan Eropah.
Tahun lepas, pihak berkuasa Jerman menghantar pulang kira-kira 31,000 pemohon suaka yang gagal kerana identiti mereka tidak dapat disahkan tanpa sebarang keraguan.
Sesetengah daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan manakala yang lain gagal dikesan oleh Kementerian Dalam Negeri.