Timbalan pendakwa raya akan wakili kementerian dalam inkues Adib, kata Zuraida

Timbalan pendakwa raya akan wakili kementerian dalam inkues Adib, kata Zuraida

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, peguam negara bersetuju untuk menerima pakai semua bukti dan hujah dikemukakan peguam terdahulu, Syazlin Mansor dalam inkues Adib.

Zuraida Kamaruddin berkata, persetujuan melantik timbalan pendakwa raya bagi mewakili KPKT dan JBPM dicapai dalam pertemuannya dengan Tommy Thomas hari ini.
PETALING JAYA:
Peguam negara bersetuju melantik seorang timbalan pendakwa raya kanan untuk mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, kata Zuraida Kamaruddin.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, Tommy Thomas juga bersetuju timbalan pendakwa raya itu akan menerima pakai semua bukti dan hujah dikemukakan peguam terdahulu, Syazlin Mansor dalam inkues anggota bomba itu.

“Ini adalah termasuk keterangan Prof Dr Shahrom Abd Wahid (bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia).

“Kami berharap agar tindakan ini akan menghentikan sebarang spekulasi tidak berasas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan inkues ini dapat diteruskan dengan baik tanpa gangguan,” kata Zuraida dalam kenyataan hari ini.

Pada 27 Mei lalu, prosiding inkues menentukan punca kematian Adib dikejutkan dengan penarikan diri Syazlin susulan arahan Jabatan Peguam Negara kepada KPKT pada 23 Mei lalu untuk membatalkan pelantikannya.

Syazlin ialah satu-satunya peguam mewakili KPKT dan JBPM.

Pada hari sama, Thomas dalam satu kenyataan berkata, Syazlin memalukan dirinya sebagai peguam KPKT kerana sering mengambil pendirian bercanggah dengan timbalan pendakwa raya.

Katanya, Syazlin sepatutnya menolak pelantikan KPKT dan bomba kerana beliau turut mewakili keluarga Adib “yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues itu”.

Beliau berkata, mana-mana kementerian dan jabatan kerajaan perlu mendapatkan nasihat dan hanya boleh melantik peguam luar melalui Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, Zuraida berkata, persetujuan untuk melantik timbalan pendakwa raya bagi mewakili pihak kerajaan dalam inkues itu dicapai dalam pertemuannya dengan Thomas hari ini.

“Timbalan pendakwa raya ini akan bertindak bebas daripada pegawai yang menjalankan inkues tersebut. Ini adalah susulan daripada penarikan diri Shazlin yang sebelum ini bertindak bagi pihak bomba.”

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Syazlin atas perkhidmatan profesional yang diberikan tanpa mengenakan sebarang bayaran sejak prosiding inkues bermula Februari lalu.

Timbul percanggahan pendapat antara Shahrom dan pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang melakukan bedah siasat ke atas Adib, yang boleh memberi petunjuk bagaimana anggota bomba itu cedera sebelum meninggal dunia pada 17 Disember 2018.

Kedua-dua doktor berhujah mengenai pengiraan daya impak van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan yang menyebabkan tulang rusuk Adib patah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.