
Peguam mewakili 23 aktivis berkenaan, Fahmi Abd Moin, pihaknya akan mengumpul semua maklumat terbabit sebelum mempertimbang menghantar laporan lengkap kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).
Bercakap kepada Berita Harian, maklumat mengenai tindakan Israel ke atas sukarelawan hasil perbualan secara kasual dengan mereka di Istanbul, Turki.
“Melalui perbualan secara kasual, mereka menyatakan diberi layanan buruk seperti rambut ditarik, dipukul di muka, dan diberikan makanan yang kalau diikutkan maksudnya – makanan kepada binatang.
“Mereka juga minum air paip dari tandas penjara…semua kisah ini akan kami kumpulkan sejurus balik ke Kuala Lumpur nanti,” katanya memetik laporan itu.
Selain Fahmi, empat lagi peguam yang juga aktivis undang-undang hak asasi manusia yang mewakili 23 sukarelawan Malaysia terbabit ialah Dir Kheizwan Kamaruddin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar, dan Luqman Mazlan.
Pada masa sama, Fahmi berkata, barisan peguam sudah dapat menemui semua sukarelawan terbabit, namun belum mendapatkan maklumat lengkap berhubung penahanan mereka itu.
“Kemungkinan besar apabila pulang ke Malaysia nanti, kita akan jumpa mereka semua dan mengambil keterangan lanjut mengenai keadaan yang berlaku sepanjang penahanan itu.
“Adakah mereka diseksa dan apakah bentuk layanan pihak rejim Zionis. Sekiranya ada, apa-apa tindakan diambil pihak rejim itu, kita akan pertimbangkan untuk menghantar laporan lengkap kepada UNHRC.
“Ia bagi memastikan rejim Zionis tidak terlepas daripada tindakan akibat layanan mereka kepada sukarelawan kita,” katanya.
Semua sukarelawan itu ditahan tentera Israel pada Khamis lalu dan dibawa ke Penjara Ketziot yang terletak di Gurun Negev sebelum dibebaskan, semalam.