Harus bukan Islam agih zakat, kata mufti P Pinang

Harus bukan Islam agih zakat, kata mufti P Pinang

Wan Salim Wan Mohd Noor mengulas gambar agihan zakat kepada golongan asnaf oleh wakil rakyat bukan Islam di Pulau Pinang yang tular di media sosial.

Wan Salim Wan Mohd Noor menyeru umat Islam tidak membesarkan perkara remeh temeh seperti pengagihan zakat kepada golongan asnaf oleh wakil rakyat bukan Islam. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Hukumnya harus bagi orang bukan Islam mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf, kata Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata dari sudut feqah, adalah harus untuk orang bukan Islam diwakilkan sama ada untuk menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.

“Ini hanya yang berkaitan dengan mu’amalat dan ibadat Maliyah seperti zakat, nazar dan kaffarah.

“Ibadat yang berbentuk fizikal (ibadat badaniyah) seperti solat dan puasa, tidak harus diwakilkan kepada orang lain,” katanya pada majlis Iftar dan Pembayaran Zakat Perniagaan.

Beliau mengulas tentang gambar berkaitan agihan zakat kepada golongan asnaf oleh beberapa wakil rakyat bukan Islam di Pulau Pinang yang tular dalam media sosial.

Katanya, ZPP hanya menyalurkan zakat menerusi pelbagai pihak termasuk menerusi wakil-wakil rakyat Islam dan bukan Islam untuk disampaikan kepada golongan asnaf.

“Asal tidak diselewengkan, pada pandangan saya, tidak perlu dijadikan isu. Sebagai mufti saya ingin menyeru umat Islam supaya tidak membesarkan perkara remeh temeh seperti ini.

“Sebaliknya perlu lebih menumpukan perhatian kepada hal-hal yang lebih penting bagi memacu pembangunan ekonomi dan pendidikan umat agar mencapai kedudukan yang lebih tinggi dan setanding dengan kaum-kaum lain,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, 5 syarikat termasuk sebuah koperasi membayar zakat perniagaan kepada ZPP yang diserahkan kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.

Syarikat itu ialah Agro Bank (Haul 2017) dengan bayaran zakat perniagaan sebanyak RM40,000, Bank Muamalat Malaysia Berhad (Haul 2018) sebanyak RM159,304.08, Etiqa General Takaful Bhd dan Etiqa Family Takaful Bhd (Haul 2018) sebanyak RM357,300, Maybank Islamic Berhad (Haul 2018) sebanyak RM660,398.49 dan Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad (Haul 2018) sebanyak RM1,098,809.54.

Keseluruhan jumlah zakat perniagaan yang diterima ZPP pada hari ini ialah RM2,315,812.11.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.