
Menurutnya, bahagian di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu telah lama wujud, yang tidak memerlukan portfolio menteri menjaga hal ehwal agama bukan Islam seperti dicadangkan pihak tertentu.
Jelasnya, kerajaan turut mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) menangani isu sensitif yang turut dianggotai wakil agama.
“Saya turut mempengerusikan secara bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dalam Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni)
“Sekiranya ada isu berbangkit, kita akan adakan mesyuarat, bincang dan beri cadangan tindakan sepatutnya diambil dan terangkan keadaan sebenar kepada masyarakat,” katanya menurut Berita Harian.
Rabu lalu, Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui mencadangkan supaya portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) dipecahkan kepada Islam dan bukan Islam.
Wakil rakyat DAP itu berkata Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai exco hal ehwal bukan Islam dan menyarankan kerajaan persekutuan mencontohi langkah itu untuk menjamin hak semua rakyat.
Kenyataan itu dipercayai lanjutan daripada cadangan mengenai garis panduan umat Islam menghadiri perayaan bukan orang Islam yang menjadi kontroversi dan mengundang reaksi pelbagai pihak.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Kabinet menolak cadangan Chow itu dan menyifatkannya ‘suara peribadi’.