
Khoo mempersoalkan keikhlasan Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali dan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim dalam kenyataan mereka baru-baru ini yang mengecam penggunaan gelaran tersebut.
Beliau berkata, kenyataan kedua-dua tokoh PAS itu mungkin sebahagian percubaan parti itu untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu ‘ketika parti itu mula kehilangan sokongan terasnya’.
Khoo yang juga Ketua DAP Melaka berkata, Awang Hashim sendiri pernah merujuk seorang Ahli Parlimen lain sebagai ‘kafir harbi’ ketika bertelagah di Dewan Rakyat pada 13 Ogos.
Selain itu, seorang ahli PAS dari Bachok, Kelantan, turut digugurkan daripada siri kempen PRK Nenggiri tahun lepas selepas dilaporkan menggelar DAP ‘kafir harbi’ pada satu ceramah.
“Sejak penubuhan kerajaan perpaduan pada 2022, ramai pemimpin PAS turut membuat dakwaan liar terhadap seteru politik mereka dalam cubaan mencemarkan kredibiliti mereka,” kata Khoo dalam kenyataan.
“Berlatarbelakangkan ini, kenyataan oleh Halimah dan Awang seolah-olah tidak lebih daripada sekadar paparan hipokrasi yang bertujuan mempamerkan imej kononnya ‘bertoleransi’.”
Terdahulu hari ini, Halimah yang juga ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, sebagai parti berprinsip dan berhasrat memayungi semua kaum, ahli PAS perlu memahami sensitiviti golongan yang mahu disantuni dan dilindungi.
Sementara itu, Awang Hashim turut bersetuju istilah yang menyinggung perasaan satu sama lain harus dielakkan penggunaannya, sebaliknya lebih wajar menggunakan istilah ‘bukan Islam’.