
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani oleh pemimpin bukan Islam daripada setiap parti komponen dalam kerajaan perpaduan.
“Sama ada DAP, PKR, UPKO, parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah atau parti dalam Gabungan Parti Sarawak, sudah menandatangani perjanjian tidak sesekali melanggar Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam, keistimewaan Melayu-Bumiputera, kedaulatan Raja dan Bahasa Melayu (sebagai bahasa rasmi),” katanya.
Dalam satu hantaran di Facebook, Asyraf berkata pendirian Umno bahawa tiada keperluan mengwujudkan menteri hal ehwal agama lain kerana perkara itu di bawah bidang kuasa menteri perpaduan.
Katanya, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyediakan ‘tatacara khusus pengurusan agama selain Islam’.
Asyraf mendakwa satu-satunya cara untuk mewujudkan jawatan menteri hal ehwal agama bukan Islam adalah dengan meminda perlembagaan.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui, mencadangkan supaya diwujudkan dua jawatan menteri hal ehwal agama di bawah Jabatan Perdana Menteri – satu untuk Muslim dan satu lagi untuk bukan Muslim – bagi mengurangkan kontroversi berkaitan isu agama.
Ahli DAP itu juga memberi contoh kerajaan Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan yang melantik exco negeri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama bukan Islam.
Menjawab komen di Facebook yang menggesa Umno memutuskan hubungan dengan DAP, Asyraf berkata “Gerakan pun sama juga”.
Katanya, apa yang lebih penting adalah bersama-sama menjaga dan pelihara Islam walaupun berbeza parti.