
Kenyataan itu dibuat selepas Kanada terlepas tarikh pengutipan bertan-tan sampah yang dibuang ke Filipina pada 2013 dan 2014.
Locsin berkata, surat panggilan balik itu dihantar kepada duta dan konsul Filipina di Kanada pada tengah malam Rabu.
“Kanada terlepas tarikh akhir pada 15 Mei dan kami akan mengekalkan kehadiran diplomatik berkurangan di Kanada sehingga semua sampah dibawa balik semula ke negara itu.”
Dalam satu lagi tweet, Locsin berkata: “Kepada kakitangan kami di Kanada: Anda telah mendapat arahan. Anda telah dipanggil balik. Naik penerbangan seterusnya untuk pulang.”
Kedutaan Kanada di Manila belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tindakan terbaru Manila itu.
Kanada mengeksport 103 kontena kapal berisi sampah ke Filipina antara 2013 dan 2014. Hanya 69 kontena sampah masih di negara itu, manakala 34 kontena sudah dilupuskan.
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mendakwa negara itu gagal mengambil tindakan berkaitan isu berkenaan dan mengancam akan menghantar balik sampah itu ke Kanada.
Duterte turut mengancam akan berperang dengan Kanada susulan isu sampah itu.
“Mari kita lawan Kanada. Kita akan mengisytiharkan perang terhadap mereka, kita boleh lawan mereka. Saya akan pulangkan sampah itu. Hanya tunggu dan lihat,” katanya pada 23 April lalu.
Keesokannya, Kanada menerusi kedutaannya di Filipina mengeluarkan kenyataan ia sedang bekerjasama dengan Manila untuk menyelesaikan isu itu.
“Kanada komited berkolaborasi dengan kerajaan Filipina bagi menyelesaikan isu ini dan sedar akan keputusan mahkamah yang mengarahkan pengimport untuk menghantar kembali bahan berkenaan ke Kanada,” menurut kenyataan Kedutaan Kanada pada 24 April lalu.
“Satu kumpulan kerja teknikal bersama yang terdiri daripada pegawai dari kedua-dua negara kini mengkaji spektrum penuh isu berhubung pelupusan sampah itu dengan tujuan mendapatkan penyelesaian yang tepat pada masanya.”
Minggu lalu, Duterte memberi masa sehingga 15 Mei untuk Kanada mengutip sampahnya.