
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Mohd Daud Bakar berkata, pihaknya mengenal pasti masalah berkenaan selepas firma audit PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dilantik selesai menjalankan semakan tadbir urus.
“Ia berdasarkan kepada laporan firma PwC dan juga dapatan daripada inisiatif pihak lembaga sendiri, yang melakukan pemantauan dan interaksi dengan pihak pengurusan secara berterusan sejak November 2018.
“Pihak lembaga kenal pasti beberapa kemungkinan salah laku dan kecuaian pentadbiran oleh pengurusan Yapeim sejak beberapa tahun lepas,” katanya dalam sidang media, di ibu pejabat Yapeim, hari ini.
PwC sebelum ini juga menyediakan laporan audit berkaitan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) 2017 dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada Ogos tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata, Yapeim adalah antara agensi yang berada dalam radar pihaknya dan tidak akan membiarkan penyelewengan berlaku.
Mohd Daud yang dilantik sejak November tahun lalu berkata, Yapeim bimbang dengan semua dapatan tersebut, namun berasa gembira dapat menyelesaikan urusan penelitian sebaik mungkin mengikut piawaian profesionalisme yang tinggi.
“Ini perlu dilakukan bagi memulakan fasa pemulihan Yapeim di atas landasan tadbir urus yang lebih mampan dan berintegriti, sesuai dengan peranan Yapeim sendiri,” katanya.
Jelas Mohd Daud, sejak November 2018 pengurusan Yapeim meneliti isu dibangkitkan seperti bonus tinggi dinikmati pengurusan kanan, isu bayaran peguam dan dakwaan kerugian Ar-Rahnu.
“Sejak November 2018, pihak lembaga yang baru sudah meneliti kesemua hal berkaitan dan pelbagai lagi isu dan sudah mengambil tindakan sewajarnya.
“Setiap salah laku dan ketirisan dilakukan oleh mana-mana pihak dalam Yapeim pada masa sekarang atau lepas akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya berdasarkan peraturan dalaman Yapeim dan undang-undang Malaysia,” katanya.
Menurutnya, satu sidang media khusus akan dilakukan pada Selasa depan, bagi menjawab isu berkait Yapeim yang dibangkitkan.
Terdahulu, Yapeim dilaporkan mengalami kerugian RM12 juta menerusi skim gadaian emasnya yang melibatkan 1,000 pelanggan projek gadaian Islam Ar-Rahnu.
Laporan memetik dokumen sulit kerajaan menunjukkan kerugian berlaku apabila Yapeim gagal membuat lelongan ke atas barang kemas tidak ditebus sebanyak 300 kg dengan nilai RM80 juta dari 2012 hingga 2014.
Menurut laporan itu, pihak pengurusan mahu menunggu nilai emas meningkat terlebih dulu, namun pada masa sama sebahagiannya telah dicairkan tanpa pengetahuan penggadai.
Penangguhan itu pada mulanya dibantah pengerusi jawatankuasa syariah Yapeim pada waktu itu, Wan Zahidi Wan Teh, tetapi beliau kemudiannya telah dipecat.
Menurut laporan itu lagi, pihak pengurusan Yapeim mengarahkan Ar-Rahnu menjual semua 300kg barang kemas itu kepada anak syarikat milik penuhnya, Input Yapeim untuk menutup perkara tersebut.
Terdahulu, Yapeim menafikan dakwaan mengatakan dana RM1 juta yang dikhususkan untuk membantu anak yatim disalahgunakan bagi membayar yuran guaman pada 2017.
Penafian itu dibuat selepas sebuah portal melaporkan bahawa dana berkenaan dikatakan disalahgunakan bagi membayar yuran guaman seorang peguam yang merupakan pengarah Yapeim dan pembantu kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Bahkan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, mengesahkan akaun Yapeim sudah diaudit firma audit terkemuka PricewaterhouseCoopers.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Kuantan itu berkata terpulang kepada lembaga pengarah Yapeim untuk menentukan sama ada laporan audit itu akan didedahkan kepada umum atau tidak.