
Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, berkata semua individu berkenaan merupakan antara yang hadir dan turut berucap semasa perhimpunan itu.
“Kita akan terus melakukan siasatan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwa raya seberapa segera yang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
MoA itu ditandatangani Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Awang@Musran Tawil dan Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kontinjen Kuala Lumpur SAC Muhammad Idzam Jaafar.
Ia bagi mengukuh hubungan kedua-dua pihak yang bersifat kerjasama pintar dalam memberi pengkhususan mengumpul dan mengagihkan dana yang diterima oleh YaPEIM melalui Skim Infaq Gaji sumbangan pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur.
Ahad lalu, Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya dilaporkan berkata, kertas siasatan telah dibuka berkaitan perhimpunan berkenaan bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis.
Beliau berkata, kira-kira 60 individu terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa, ahli parti politik serta beberapa individu dikenal pasti dan belum dikenal pasti telah berhimpun di kawasan terbabit bermula 2 petang.