
N Sivananthan, rakyat Malaysia pertama yang menjadi peguam di Mahkamah Jenayah Antarabangsa berkata, kerajaan harus mengamalkan prinsip sama terhadap penceramah kontroversi itu, seperti ia menghantar pulang Praphan Pipithnamporn, yang mungkin berdepan pendakwaan atas pandangan-pandangan anti-monarki.
“Jika India membuat permintaan, kita perlu menghantarnya pulang. Kalau Naik mahu mencabar penghantaran pulang itu, dia boleh berbuat demikian, tetapi dia mesti ditahan sehingga selesai sebarang prosiding ekstradisi,” katanya kepada FMT.
Praphan dihantar pulang minggu lepas selepas dia ditangkap polis pada April atas permintaan Thailand.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan langkah tersebut, walaupun dikritik kumpulan-kumpulan hak assi yang memberi amaran Praphan mungkin dikenakan perbicaraan yang tidak adil bawah undang-undang lese-majeste Thailand.
“Kalau ada permintaan kita terpaksa hantar balik,” kata perdana menteri kepada pemberita hari ini.

Naik, seorang pemastautin tetap, melarikan diri daripada pihak berkuasa India, tetapi mendapat sokongan dalam kalangan pemimpin-pemimpin kanan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Tahun lepas, Mahathir berkata kerajaan akan membenarkan Naik berada di negara ini selagi dia tidak melanggar undang-undang.
Pada 2 Mei, Direktorat Penguatkuasaan India mendakwanya tanpa kehadirannya atas tuduhan pengubahan wang, menuduh dia memperoleh aset jenayah bernilai Rs1.9 bilion (RM114.5 juta).
Agensi itu berkata Naik pernah membuat “ucapan-ucapan dan kuliah-kuliah yang mengapi-apikan” yang menghasut sejumlah belia beragama Islam di India melakukan tindakan pengganas.
Naik menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terhadapnya, dan mengelak daripada pihak berkuasa India yang mahu dia dihantar pulang dari Malaysia.
Sivananthan berkata Malaysia bertanggungjawab untuk menghantar pulang Naik apabila Interpol menerima permintaan notis merah India terhadap penceramah itu.
“Saya tak fikir kita ada pilihan. Kita tak boleh tidak menguatkuasakannya,” katanya.
Beliau memberi amaran jika Malaysia memilih untuk tidak pedulikan notis merah Interpol itu, negara-negara anggota lain akan melakukan perkara yang sama sekiranya notis dikeluarkan terhadap individu-individu yang dikehendaki Malaysia, termasuk Low Taek Jho, ahli perniagaan yang dikehendaki dalam skandal 1MDB.
“Saya tak fikir kita berada di kedudukan untuk buat sebarang penghukuman terhadap dakwaan jenayah itu pada peringkat ini. Sangat tak wajar jika kita minta bantuan Interpol dan dalam masa enggan membantunya.”