
Mengulas laporan mengatakan sasterawan negara masa depan mungkin seorang bukan Melayu, Samad berkata kaum tidak patut menjadi syarat seorang sasterawan di zaman ini.
Beliau berkata seorang sasterawan perlu berkhidmat kepada masyarakat, dan oleh itu calon-calonnya bukan sahaja perlu berkarya tetapi juga muncul di khalayak dan terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan.
“Seorang sasterawan mesti lahirkan penulis-penulis baru, perkenalkan buku-buku yang bagus pada murid-murid. Mereka juga mesti berkelakuan baik.
“Ia bukan mengenai kaum. Sekiranya dia memiliki ciri-ciri seorang sasterawan, maka gelaran itu wajar diberikan kepadanya.
“Ramalan saya akan ada sasterawan berketurunan Cina atau India di masa depan, kita mesti ikut peredaran zaman,” katanya.
Beliau berkata terdapat penulis berketurunan India dan Cina yang menghasilkan karya bahasa Melayu yang dapat menjadi contoh seperti Uthaya Shankar SB dan Lim Swee Tin.
Ditanya tentang bantahan pihak tertentu mengenai penganugerahan gelaran sasterawan negara kepada seorang bukan Melayu, Samad berkata ia sudah dijangka.
“Sebenarnya, orang ramai semakin terbuka. Sekiranya karya itu bagus, menyumbang kepada masyarakat, jadi kenapa tidak?” katanya.
Samad berkata demikian di tepian program “Dari Minda ke Tinta Ilmu: Menghargai Sasterawan Negara” di Festival Guru Malaysia di Pusat Konvensyen Spice hari ini.
Baru-baru ini, FMT melaporkan seorang penulis novel bukan Melayu, seorang penulis pro-Pakatan Harapan, dan seorang penulis yang bukunya pernah diharamkan antara 5 calon anugerah Sasterawan Negara.
Perkara itu disampaikan oleh sumber yang tahu tentang proses penamaan bagi gelaran itu.
Pihak berkuasa bahasa negara yang memilih calon-calon sasterawan, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka menyenarai pendekkan 5 nama selepas berbulan-bulan mempertimbangkannya.
Menurut sumber, panel pemilihan yang diketua ahli akademi terkenal, Salleh Yaapar sudah menyerahkan pilihannya kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik, yang perlu mendapatkan perkenan Agong.
Tidak diketahui adakah Maszlee meluluskan pilihan panel itu.
Terdahulu, Samad bercakap mengenai kepentingannya mendedahkan murid-murid kepada banyak buku-buku sastera, bagi meluaskan pandangan mereka ketika membesar.
Dalam satu wacana bersama para guru, beliau berkata buku “melengkapkan” seseorang dan menggesa para ahli akademi menjadikan membaca sesuatu yang menyeronokkan bagi golongan muda.