PM tak setuju lihat semua dasar ikut lensa kaum

PM tak setuju lihat semua dasar ikut lensa kaum

Anwar Ibrahim berkata disebabkan tekanan dan persepsi politik memaksa kerajaan menjelaskan butiran tertentu ikut kaum bagi mengelak salah faham.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan kononnya kerajaan tidak bantu masyarakat tertentu, sambil menjelaskan inisiatif seperti SARA dan STR tidak bezakan penerima mengikut kaum atau wilayah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tidak bersetuju dari awal dengan pendekatan politik melihat semua dasar melalui lensa kaum.

Katanya, disebabkan tekanan dan persepsi politik memaksa kerajaan menjelaskan butiran tertentu bagi mengelak salah faham.

“Saya tak setuju semua nak ikut kaum, tapi bila kita diam dikata tak buat apa-apa. Sebab itu saya terpaksa perincikan, bukan untuk membezakan tetapi untuk tunjuk bahawa kerajaan buat kerja,” katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Deepavali Madani Peringkat Kebangsaan 2025.

Turut hadir, Menteri Digital Gobind Singh Deo, dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan.

Anwar yang juga menteri kewangan menolak dakwaan kononnya kerajaan tidak membantu masyarakat tertentu, dengan menjelaskan inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah menyalurkan lebih RM1 bilion kepada masyarakat India.

Tambahnya, STR tidak membezakan penerima mengikut kaum atau wilayah kerana prinsip utama program itu ialah membantu rakyat memerlukan.

“Jangan kata kita tidak buat apa-apa, kerana apa yang kita lakukan jauh lebih besar daripada apa yang pernah dibuat oleh Bersatu atau PAS yang sekarang ini banyak bercakap.

“Dalam STR tak ada STR India, STR Melayu, STR Cina atau STR Sarawak. Tapi disebabkan banyak kritikan, saya terpaksa jelaskan. Untuk masyarakat India sahaja, jumlahnya RM1 bilion. Itu bukan jumlah kecil,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menegur sesetengah pihak yang gemar membawa isu perkauman dalam perbahasan dasar awam, termasuk isu pendidikan dan kemasukan ke universiti.

“Kadang-kadang kita cadang dan tegur, tapi jangan bawa polemik kaum. Bila kata nak ambil kuota Melayu, terus jadi masalah. (Kata kerajaan) tak bantu. Sepatutnya kita cari penyelesaian bersama,” katanya.

Beliau memuji usaha rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan yang komited mencari jalan penyelesaian terhadap masalah berpanjangan antara kaum sejak beberapa dekad lalu.

“Bagi saya, ini semangat sebenar Madani iaitu keadilan untuk semua. Bukan Melayu lawan Cina, bukan India lawan siapa-siapa, tapi bagaimana kita boleh bangunkan negara bersama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.