
Kesedaran tinggi masyarakat terhadap gaya hidup dan pemakanan sihat masa kini mencetus idea kepada sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menghasilkan sate daripada cendawan sisir.
Berbekalkan kepakaran berbeza, Tuan Zainazor Tuan Chilek, Amir Izzwan Zamri dan Fisal Ahmad dari Pusat Pengajian Sains dan Teknologi (PPSTM) bekerjasama menjalankan penyelidikan selama 6 bulan sebelum menghasilkan sate vegetarian (V-Sate).
Amir Izzwan, selaku jurucakap berkata, mereka mula produk berkenaan pada Jun tahun lepas dengan bantuan 6 penuntut tahun 3 jurusan Sains Pemakanan, menggunakan teknologi “blast freezing” bagi mengekalkan kesegaran, integriti serta struktur produk.
“Semakin ramai kini beralih kepada makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan serta sayuran untuk menjaga kesihatan. Cendawan adalah satu daripada sumber yang baik kerana ia kaya dengan nutrisi dan serat yang bagus untuk usus.
“Walaupun V-Sate diperbuat daripada cendawan sisir, rasa serta teksturnya sangat mirip dengan daging, menyebabkan ia mudah diterima dan disukai ramai,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di makmal PPSTM UMT, baru-baru ini.

Selain diperbuat daripada bahan mentah segar terus dari ladang, komposisi bahannya pula dijamin 100% daripada sumber tumbuhan, menjadikan produk itu sangat sesuai untuk vegetarian dan mereka yang mementingkan penjagaan diet.
Ini kerana sayur-sayuran tidak mengandungi kolesterol dan lemak manakala kandungan kalorinya pula jauh lebih rendah daripada ayam atau daging yang perlu dihadkan kuantiti pengambilannya jika seseorang individu mahu terus kekal sihat.
Menurut Amir Izzwan, selain mempelbagaikan produk makanan berasaskan cendawan, penghasilan produk V-Sate juga dapat membantu menjana ekonomi pengusaha tanaman cendawan dan juga menyelesaikan masalah lebihan pengeluaran pada satu-satu masa.

“Cendawan yang dituai perlu diproses dengan segera kerana jangka hayatnya agak pendek, iaitu 2 hingga ke 3 hari.
“Ini adalah antara dilema utama industri penanaman cendawan, terutama kulat sisir, yang mana pasarannya juga masih belum meluas, berbanding jenis tiram yang banyak dikomersialkan,” katanya.
Beliau turut menambah sejenis formula rahsia dalam V-Sate bagi memperkuatkan tekstur dan rasanya seperti daging.
Menurut beliau, produk akhir V-Sate dihasilkan dalam bentuk sejuk beku dan akan dipasarkan dalam satu set lengkap yang berisi 6 cucuk sate dan kuah kacang serta dicadangkan pada harga sekitar RM7.90 satu pek.

Beliau berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan anak syarikat negeri Terengganu, T-Kitchen, bagi mendapatkan pembungkusan yang sesuai, menarik dan berteknologi tinggi bagi tujuan peningkatan kualiti produk, sekiranya ingin dipasarkan di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.
“Kita sedang dalam proses mendapatkan hak cipta untuk V-Sate dan dijangka dapat diperoleh tidak berapa lama lagi. Untuk permulaan, kita akan pasarkan produk ini ke sebuah pasar raya di Tanah Merah, Kelantan, yang merupakan pembekal cendawan sisir kepada UMT.
“Insya-Allah sekiranya mendapat sambutan, kita akan perluaskan ke negeri-negeri lain. Ia juga adalah usaha untuk mengangkat martabat makanan tradisional sate ke satu peringkat lebih tinggi,” katanya.
Mereka juga sedang dalam penyelidikan bagi menghasilkan lidi sate organik yang boleh dimakan.
Katanya lagi, inovasi terkini V-Sate dalam industri makanan juga membolehkan pasukannya mendapat anugerah pingat perak dalam pertandingan International Food Innovation & Product 2018 yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Disember lalu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]