
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri dan persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bekerjasama merealisasikannya sempena Tahun Melawat Selangor dan Tahun Melawat Malaysia.
Katanya, cadangan itu dibuat supaya Kajang setara dengan bandar warisan lain seperti George Town, Taiping dan Melaka.
Menurutnya, Kajang ada potensi menjadi destinasi warisan dan budaya kerana memiliki bangunan sejarah berusia lebih 100 tahun.
“Antara tempat bersejarah di Kajang termasuklah Tokong Sheng Sze She Yar, Sekolah Menengah Tinggi Kajang (Kajang High School), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Hwa, Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan, Kuil Sri Subramaniyar dan macam-macam lagi.
“Terdapat juga kampung tradisi seperti Kampung Sungai Sekamat dan kampung baru seperti di Sungai Chua yang mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri,” katanya ketika membahaskan usul titah diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen DAP berkata Kajang juga terkenal dengan sate.
“Saya berani katakan dalam Dewan (Dewan Rakyat) yang mulia ini adalah sate (Kajang) yang paling sedap dalam Malaysia.
“Dalam kita promosikan tempat-tempat pelancongan seperti Langkawi, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, kita jangan lupa juga kawasan seperti Kajang. Kajang hanya setengah jam dari ibu kota, dan lagi dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.