
Seorang penjual murtabak dari Kelana Jaya yang hanya dikenali sebagai Razli berkata, orang ramai lebih hati-hati berbelanja, lebih-lebih lagi apabila sesi persekolahan baharu bermula pada Ramadan.
“Kami kekalkan harga untuk utamakan pembeli, walaupun (harga) bahan-bahan semakin tinggi,” katanya kepada FMT.
“Saya sebelum ini jual ayam tempayan tetapi tukar jual murtabak kerana (ayam tempayan) terlalu mahal, dan pembeli suka makanan lebih murah.”

Seorang lagi penjual murtabak hanya dikenali sebagai Fikri, yang menjual di bazar Jalan Telawi sejak 2016 juga berkata, jualan ‘biasa-biasa’ tetapi peningkatan kos operasi memaksanya menaikkan harga makanan daripada RM4 kepada RM5.
“Tahun lepas, saya masih boleh jual murtabak RM4, tetapi tahun ini, saya terpaksa naikkan harga kepada RM5 kerana harga ayam dan daging semakin naik, kos pekerja juga tinggi,” katanya.
Sementara itu, Adal, yang menjual sate dan tepung pelita berkata, beliau mengekalkan harga, tetapi mengakui jualan perlahan tahun ini.
“Harga sate tetap sama, tetapi kosnya memang dah naik. Kalau saya naikkan harga, pelanggan akan ‘complain’ (pula), dan di sini persaingan memang dah sengit,” katanya.
Penjual air bandung Tasa Emaliza berkata, walaupun kos meningkat, beliau komited memastikan barangan jualannya mampu dimiliki oleh semua.
“Walaupun kos bahan seperti susu naik, saya tetap jual pada harga murah, supaya semua orang mampu beli,” katanya.
“Sebagai penjual, sudah tentu kami terkesan dengan kenaikan kos, tetapi kami perlu pastikan harga (jualan) berpatutan untuk pembeli.”
Beliau berkata, jualannya meningkat selepas ulasan pempengaruh Jason Chen menjadi tular, membantu menarik lebih ramai pelanggan.

Seorang pembeli dikenali sebagai Alicia, yang mengunjungi bazar Kelana Jaya bersama rakan-rakannya berkata, media sosial mensensasikan bazar Ramadan, tetapi harga makanan dan minuman yang dijual semakin naik.
“Saya rasa dah jadi sangat mahal, bukan sahaja tahun ini, tetapi sejak beberapa tahun lepas. Nak beli minuman pun sekarang minimum RM5,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi pengunjung bazar yang hanya dikenali sebagai Nabil berkata, walaupun harga beberapa makanan seperti kuih-muih tidak berubah, makanan berasaskan daging dilihat semakin mahal.