
Nor Hafizah Othman (BN-Permatang Berangan) mendakwa kerajaan negeri tidak membantu keluarga itu yang berkhemah di Komtar selama seminggu pada awal bulan lalu, selepas mereka diusir kerana tidak layak tinggal di pangsapuri dengan sewa bulanan RM124.
Bercakap pada sesi membahas usul terima kasih atas ucapan Yang Dipertua Pulau Pinang, Abdul Rahman Abbas, Hafizah berkata tiada siapa yang tampil membantu keluarga terbabit.
“Mereka diusir dari rumah mereka tanpa belas kasihan, sesuatu yang kerajaan terdahulu tidak pernah lakukan.
“Terdapat ibu yang tidak dapat menyusukan bayi mereka, tetapi kerajaan negeri tidak membantu pun.”
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, bangkit dan melabelkan Hafizah penipu.
Phee (DAP-Sungai Puyu) berkata, kerajaan negeri berusaha sedaya upaya untuk membantu keluarga terbabit, termasuk mencari rumah ganti untuk mereka.
Beliau menuntut Hafizah menunjukkan bukti keluarga itu dizalimi.
Speaker, Law Choo Kiang meminta Phee duduk, tetapi exco itu enggan dan mengulangi gesaan untuk Hafizah membuktikan dakwaannya.
Law kemudian meminta Hafizah membuktikan dakwaannya atau beralih kepada isu lain.
Adun pembangkang itu kemudiannya bercakap mengenai isu lain.
Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang dilaporan berkata, ia mengusir keluarga itu dari pangsapuri PPR Taman Manggis selepas memberi mereka notis lebih 6 bulan.
Katanya, pengusiran ialah penyelesaian terakhir.
Mereka yang diusir itu didapati mempunyai pendapatan tinggi dengan ada di kalangan berkahwin dengan warga asing atau tidak membayar sewa dan yuran penyelenggaraan.
Satu pasangan turut didapati menaiki penerbangan kelas perniagaan dan menjalani kehidupan mewah.
Setiausaha politik perdana menteri, Abu Bakar Yahya, yang berunding dengan mereka ketika berkhemah di Komtar, terpaksa diiringi polis serta pengawal keselamatan kerana penyewa PPR itu menghalangnya meninggalkan bangunan itu.
Keluarga terbabit akhirnya bersetuju menerima tawaran untuk menyewa rumah di tempat lain.