P Pinang takkan timbang permohonan baharu TLQ mulai 2026

P Pinang takkan timbang permohonan baharu TLQ mulai 2026

Exco H’ng Mooi Lye berkata kelulusan bagi TLQ bersifat sementara selama tiga tahun dan akan berakhir 31 Dis 2027.

foreign workers
Exco Pulau Pinang H’ng Mooi Lye berkata pihak berkuasa tempatan akan fokus membantu pemohon penginapan pekerja jangka pendek sedia ada beralih kepada asrama pekerja berpusat mulai tahun depan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Kerajaan negeri tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan baharu penginapan pekerja jangka pendek (TLQ) selepas 31 Dis ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye.

Beliau berkata, kelulusan bagi TLQ bersifat sementara selama tiga tahun dan akan berakhir 31 Dis 2027, berdasarkan Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Sementara di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pulau Pinang yang dipinda 12 Feb lalu dan berkuat kuasa 1 Mac 2025.

Menurutnya, setiap permohonan baharu TLQ memerlukan kitaran tiga tahun sebelum dapat diwujudkan.

“Garis panduan ini langkah penyelesaian jangka pendek kerajaan negeri bagi mengatasi isu penginapan pekerja, mengurangkan kesan negatif penempatan pekerja asing dalam komuniti dan memastikan kesejahteraan serta keharmonian penduduk tempatan terus terpelihara,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Beliau menjawab pertanyaan K Kumaran (PH-Bagan Dalam) berhubung rancangan kerajaan negeri untuk syarikat atau majikan ingin mengemukakan permohonan TLQ selepas tahun ini.

H’ng berkata, PBT akan memberi tumpuan membantu pemohon TLQ sedia ada beralih kepada asrama pekerja berpusat (CLQ) selaras Garis Panduan Perancangan Pembinaan Penginapan Pekerja di Pulau Pinang 2022.

Mengambil kira pembangunan pesat dan peningkatan keperluan tenaga kerja asing di Pulau Pinang, kerajaan negeri sedang meneliti semula garis panduan CLQ bagi membantu majikan menyediakan kemudahan itu di lokasi sesuai, seperti zon industri dan komersial.

“Dengan itu, majikan dapat menempatkan pekerja asing di satu lokasi dekat dengan tempat kerja, sekali gus mengurangkan isu sosial dan masalah trafik.

“Namun, aspek teknikal seperti nisbah plot bangunan, kapasiti, kemudahan asas serta proses permohonan kebenaran merancang masih dalam perbincangan akhir dan perlu diperhalusi bagi menghasilkan garis panduan yang inklusif dan berkesan.”

Ketika ini, terdapat empat projek CLQ dalam kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan 19 projek CLQ dalam kawasan Majlis Bandaraya Seberang Perai, meliputi projek sedang beroperasi, dalam pembinaan serta telah mendapat kelulusan kebenaran merancang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.