Colombia usir diplomat Israel kerana pintas konvoi GSF

Colombia usir diplomat Israel kerana pintas konvoi GSF

Presiden Gustavo Petro menuntut pembebasan dua aktivis wanita Colombia yang ditahan tentera Israel.

Presiden Gustavo Petro
Presiden Gustavo Petro memutuskan hubungan dengan Israel tahun lalu, tetapi empat diplomatnya terus kekal di negara itu. (Gambar Getty/AP)
BOGOTA:
Presiden Colombia, Gustavo Petro pada Rabu mengusir semua diplomat Israel di negara itu selepas rejim Zionis memintas konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dan menahan dua rakyatnya.

Katanya, dua aktivis wanita Colombia “yang terbabit aktiviti solidariti dengan Palestin” ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.

Pejabat Petro dalam kenyataan menuntut pembebasan segera Manuela Bedoya dan Luna Barreto yang menyertai misi kemanusiaan GSF.

Terdahulu, Kementerian Luar Israel mengesahkan beberapa kapal GSF dihentikan dengan selamat dan semua penumpangnya dibawa ke sebuah pelabuhan di Israel.

Petro memutuskan hubungan dengan Israel tahun lalu, tetapi empat diplomatnya terus kekal di negara itu, kata sumber Konsulat Israel di Bogota kepada AFP.

Petro dalam catatan X mengumumkan pengusiran “semua delegasi diplomatik Israel” atas apa yang disifatkannya “jenayah antarabangsa baharu” oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Beliau turut menamatkan perjanjian perdagangan bebas dengan Israel yang berkuat kuasa sejak 2020.

Pemimpin Colombia itu antara pengkritik paling lantang Netanyahu yang turut menyelar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersubahat melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Minggu lalu, Petro menyertai protes pro-Palestin di New York, di mana beliau menyeru tentera AS “tidak mematuhi” arahan Trump.

Washington kemudian membatalkan visa Petro selepas membuat kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.