
Yusni Mat Piah (PN-Penaga) berkata, acara muzik bulan lalu bertentangan dengan semangat Songkran dan tidak cocok dari segi budaya.
Songkran merupakan perayaan tradisi tahun baru Thai yang terkenal dengan perlawanan air bagi melambangkan pembersihan dan pembaharuan. PAS Pulau Pinang pernah membantah perayaan dua hari itu sebelum ini.
Acara berkenaan tular selepas klip wanita berpakaian mencolok mata menari tersebar.
“Ini bukan budaya kita. Ini bukan budaya orang Melayu, Cina atau India,” kata Yusni ketika perbahasan menjunjung kasih kepada Yang Dipertua Negeri.
Katanya, Songkran itu sendiri bukan menjadi isu, namun ia telah dimanipulasi oleh sesetangah pihak.
“Pesta Songkran ini tak salah. Ia budaya masyarakat Siam…tapi apa yang kita lihat, pesta ini telah dimanipulasi oleh pihak tertentu, tidak mencerminkan budaya asal.
“Saya tengok iklan Songkran ini…sangat jijik. Terbuka mendedahkan wanita separuh bogel. Kita semua ada anak perempuan. Ini tak patut,” katanya.
Yusni berkata, negeri pimpinan PAS seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah juga mengadakan Songkran ‘tanpa isu’.
Gooi Hsiao Leung (PH-Bukit Tengah) bangun sambil menyatakan sememangnya pakaian renang akan dipakai mengambil kira perkumpulan di pantai.
“Apa sebenarnya yang ditunjukkan dalam iklan itu? Orang pergi pantai pakai baju ‘swimming suit’. Biasa.
“Jangan katakan seperti Pulau Pinang ini gila-gila seks, gila parti, bogel lah, Jangan mainkan isu ini demi kepentingan politik dan sentimen perkauman,” katanya.
Chee Yeeh Keen (PH-Bagan Jermal) juga bangun kenyataan Yusni, sebelum Timbalan Speaker Azrul Mahathir Abdul Aziz menenangkan keadaan.
Bulan lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz Jan menyeru Pulau Pinang tidak menganjurkan Songkran kerana mempromosikan ‘hedonisme’ dan meminggirkan nilai Islamik.