
Alan Dennis Sytin, 51, yang dituduh merancang pembunuhan abangnya, Dominic, diserahkan kepada polis Filipina selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila pada 11.20 malam, lapor Manila Bulletin.
Alan yang menjadi buruan dengan tawaran ganjaran 10 juta peso (RM772,200) itu ditahan dalam satu operasi di Kelab Ragbi Cobra di Lorong Utara di sini pada 22 Mac lalu.
Sebaik tiba di Manila, Alan terus diserahkan waran tangkap atas tuduhan membunuh yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Manila, yang turut menolak permohonan jaminan ke atasnya.
Polis Filipina sebelum ini memaklumkan bahawa penahanan Alan dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia selepas lelaki itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
Tidak jelas berapa lama Alan berada di Malaysia sebelum ditahan.
Pengarah polis wilayah Filipina, Jean Fajardo, memuji kerjasama antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara, sambil menyatakan bahawa kes ini membuktikan ‘tiada penjenayah yang boleh terlepas daripada keadilan apabila negara-negara berganding bahu memerangi jenayah’.
Dominic ditembak mati pada 28 Nov 2018 di luar sebuah hotel di Subic Bay Freeport.
Edgardo Luib, lelaki yang ditahan dan disabitkan atas pembunuhan tersebut, kemudian mendedahkan Alan sebagai dalang utama.
Polis Filipina turut memaklumkan bahawa seorang lagi suspek yang didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu, Edrian Rementilla, ditahan di Iligan City pada 22 Mac lalu.