YDP P Pinang cadang kompleks pentadbiran baru atas tanah tebus guna

YDP P Pinang cadang kompleks pentadbiran baru atas tanah tebus guna

Abdul Rahman Abbas berkata kompleks pentadbiran sedia ada mempunyai kelemahan ketara, dan bangunan legislatif sudah berusia lebih 200 tahun.

Abdul Rahman Abbas merasmikan sesi Dewan Undangan Negeri tahun ini di Dewan Sri Pinang hari ini.
GEORGE TOWN:
Yang di-Pertua Pulau Pinang, Abdul Rahman Abbas hari ini mencadangkan salah satu projek tebus guna tanah di negeri itu digunakan untuk membina pusat pentadbiran dan Dewan Undangan Negeri baru.

Beliau berkata ia selaras dengan wawasan Pulau Pinang menjadi negeri pintar dan maju menjelang 2030.

Projek tebus guna tanah sedang berjalan di pantai Persiaran Gurney, di pantai Queensbay berdekatan Pulau Jerejak dan Pantai Bersih di Butterworth.

Terdapat rancangan untuk menebus guna 3 pulau di selatan Pulau Pinang, walaupun ia belum mendapat persetujuan.

Rahman, ketika merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri hari ini berkata, ada “keperluan serius” untuk membina sebuah kompleks pentadbiran baru untuk menempatkan perhidmatan awam dan menyampaikan khidmat kepada rakyat dengan lebih baik.

Beliau berkata kompleks baru itu patut menempatkan bangunan dewan undangan negeri baru, kerana bangunan sekarang sudah berusia lebih 200 tahun dan perlu dibaiki.

Beliau menambah hanya ada 24 Adun ketika bangunan itu dibuka pada 1959, berbanding 40 sekarang ini.

“Saya masih berharap kerajaan negeri akan mengambil usul membina dewan undangan negeri baru dengan serius, demi keselesaan wakil-wakil rakyat, kakitangan kerajaan, pengamal media dan keperluan mendesak lain,” katanya.

Beliau berkata kompleks pentadbiran negeri sedia ada, iaitu Komtar, mempunyai beberapa kelemahan ketara, mengambil contoh kejadian awal bulan ini di mana seluruh penghuninya perlu mengosongkan bangunan itu.

Beliau berkata kompleks baru perlu dibina bagi menggantikan Komtar, seiring dengan pembangunan semasa.

Sidang diadakan di Dewan Sri Pinang, kali ketiga ia bersidang di luar bangunan dewan undangan negeri dalam sejarah 60 tahun cabang legislatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.