
Ketua pegawai eksekutif dan pengasas KAJ Development Michelle Ong berkata, mereka diberikan notis penamatan pada 16 Nov “tanpa sebarang alasan”.
“Kami mahu tahu kenapa,” katanya pada sidang media di sini.
Katanya, setakat ini mereka membelanjakan RM700 juta untuk projek itu, selepas menyudahkan 40% kerja-kerja projek, termasuk siasatan tanah.
Ong berkata, mereka berjaya menarik pelaburan asing bernilai berbilion ringgit untuk projek tersebut, yang bakal berjalan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Kami tidak boleh membiarkan pelaburan ini gagal. Kami telah membelanjakan begitu banyak wang.”
Ketika ditanya tentang penyelesaian undang-undang, Ong berkata, mereka mahu mengatasi perkara itu secara baik dan terus bergerak ke hadapan.
“Keutamaan kami ialah penyelesaian yang melibatkan kedua-dua belah pihak.
“Jika tidak ada pilihan, maka kami perlu terus melangkah. Jika wujud kesan undang-undang, kami bersedia,” katanya.
Ong seterusnya berkata, kerajaan negeri memberikan mereka tempoh 14 hari supaya mengosongkan premis.

“Saya tidak dapat tidur malam kerana menerima banyak panggilan telefon bertanyakan kesudahan pelaburan yang dibuat.”
KAJ Develoment merupakan pemaju induk projek mega Melaka Gateway dan pemegang konsesi penambakan laut serta pembinaan 3 pulau seluas 246 hektar.
Tiga pulau berkenaan dikategorikan sebagai pelancongan gaya hidup (termasuk rawatan perubatan), penyumberan luar perniagaan dan pintu masuk pelaburan Asia.
Pada 16 Nov, dilaporkan kerajaan Melaka menamatkan perjanjian penambakan laut untuk membina 3 pulau di bawah projek Melaka Gateway.
Pejabat Ketua Menteri berkata, perjanjian dengan pemaju hartanah KAJ Development Sdn Bhd yang ditandatangani pada Okt 2017, tamat pada 3 Okt.
Bernama melaporkan notis penamatan itu dihantar kepada syarikat berkenaan selepas ia gagal menyudahkan projek tersebut.
Ong bagaimanapun berkata, langkah kerajaan negeri menamatkan projek tebus guna tanah itu “salah di sisi undang-undang, tidak sah, tidak adil, tidak munasabah dan bercanggah dengan perlembagaan”.
“Kami mahu menegaskan bahawa penamatan itu membabitkan konsesi tebus guna tanah, tetapi Melaka Gateway bukanlah projek tebus guna tanah. Sebaliknya ia adalah projek pembangunan swasta yang dirancang dan dibangunkan oleh KAJ Development.”
Ong berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tegas berkata bahawa beliau tidak akan meninggalkan sesiapa di belakang.
Dengan kata lain, beliau “menyokong perniagaan dan mahu memperkuat ekonomi”.
Namun katanya, kerajaan negeri Melaka bertindak sebaliknya terhadap perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negara.
Beliau berkata, projek itu mampu menawarkan kira-kira 40,000 hingga 45,000 peluang pekerjaan dan nilai pembangunan kasar sehingga RM125 bilion dengan kesan pengganda sebanyak RM1.88 trilion.
Dilaporkan projek Melaka Gateway melibatkan pembinaan terminal kapal pesiaran antarabangsa yang cukup besar untuk menampung 4 kapal pesiaran pada satu-satu masa.
Antara kemudahan lain yang dirancang, termasuklah sebuah marina kapal layar, kondominium mewah, banglo dengan marina persendirian, taman eko-pelancongan dan taman tema.
Pelabuhan laut dalam baru juga akan dibina dengan sokongan 3 syarikat China, menurut laporan.