
Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang berkata, walaupun projek itu kini hanya membabitkan satu pulau, bukan tiga seperti perancangan asal, ia masih akan menggalakkan lebih banyak perniagaan, terutamanya firma berteknologi tinggi, untuk membangunkan kilang.
“Terdapat ratusan perdagangan yang terlibat dalam penambakan dan ia akan merangsang ekonomi,” kata presidennya, Hong Eam Wah.
Hong berkata, kekurangan harta tanah di Pulau Pinang untuk kilang-kilang besar mengakibatkan syarikat-syarikat sebaliknya bertapak di Kulim, Kedah.
Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan projek PSI dikecilkan kepada 2,300 ekar (931ha) di pulau tunggal di selatan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, berbanding pelan asal tiga pulau seluas 4,500 ekar (1,821ha).
Pembangunan kini akan memberikan tumpuan kepada Pulau Silikon, sebelum ini dikenali sebagai Pulau A, yang akan mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan.
Pemaju, Jerry Chan berkata, walaupun kawasan tebus guna dikurangkan, saiznya tetap besar. Langkah mengurangkan skala projek adalah logik, tambahnya.
“Kita ukur baju di badan sendiri, ini termasuk menambak (tanah) mengikut realiti semasa,” kata bekas presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Pulau Pinang itu.
“Kerja-kerja penambakan seterusnya akan bergantung kepada keperluan masa depan, pertumbuhan penduduk, dan pengembangan industri.”
Chan berkata, kompromi itu juga akan menimbulkan lebih keyakinan dalam kalangan pelabur bahawa projek itu akan diteruskan tanpa gangguan.
Beliau berkata, tidak berlaku kehilangan peluang pekerjaan mahupun pengurangan hasil kerana projek itu akan dijalankan berdasarkan keperluan.
Ahli perniagaan Rethinam Pillai berkata, berdasarkan pengalaman lalu, penambakan membawa kebaikan buat Pulau Pinang.
Katanya, projek penambakan Seri Tanjung Pinang, yang diluluskan kira-kira 20 tahun lepas, telah mewujudkan salah satu kawasan perumahan yang paling popular di pulau itu.
Pillai berkata, kerajaan negeri perlu terus berjuang walaupun NGO membantah. Pulau Pinang berada di landasan yang tepat untuk menjadi hab teknologi Asean seterusnya, tambahnya.
“Projek penambakan Pulau Silikon dijangka membawa industri berkaitan 5G, 6G dan kecerdasan buatan yang lebih baharu ke Pulau Pinang.
“Projek ini akan mewujudkan banyak pekerjaan dan kesan limpahan akan dirasai oleh generasi akan datang,” katanya.