Kes belum selesai, jangan meterai tambakan laut, NGO beritahu P Pinang

Kes belum selesai, jangan meterai tambakan laut, NGO beritahu P Pinang

CAP dan SAM berkata kerajaan negeri tidak boleh menandatangani sebarang perjanjian yang memulakan projek tebus guna tanah.

GEORGE TOWN:
Dua kumpulan hari ini memberitahu kerajaan Pulau Pinang jangan menandatangani perjanjian berkaitan projek 3 pulau buatan kerana tindakan undang-undang oleh NGO dan nelayan masih belum selesai.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata kerja-kerja tebus guna tanah itu, walaupun mendapat kelulusan, sedang dirayu dan oleh itu tidak patut ada sebarang pemeteraian perjanjian yang secara rasmi memulakan projek itu.

Perkembangan ini selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata kerajaan akan menandatangani perjanjian untuk memulakan tebus guna tanah projek Penang South Islands (PSI) seluas 40,000 ekar itu bulan ini.

Dalam satu kenyataan, CAP dan SAM berkata Unit Nelayan Sungai Batu – yang secara langsung terkesan dengan PSI – mencabar kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menjalankan kerja-kerja tebus guna tanah pada Julai tahun lalu dan rayuan itu belum dibicarakan.

Kumpulan nelayan itu mencabar Penilaian Kesan Alam Sekitar bagi PSI, mengatakan “pramatang” memandangkan ia masih tidak lengkap dan tidak mengambil kira syarat-syarat yang dikenakan Kementerian Pertanian.

Katanya lagi, projek itu juga menjejaskan kewajiban Malaysia bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi, kata kenyataan itu.

“Ini satu alasan yang besar dan perkara ini boleh dibawa ke pengadilan yang lebih tinggi sehingga ke Mahkamah Persekutuan dan ia boleh mengambil masa banyak bulan,” kata Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dan Presiden SAM, Meenakshi Raman.

Mengikut peraturan kualiti alam sekitar 2003, seseorang yang secara langsung terkesan dengan suatu projek boleh memohon kepada JAS mempertimbangkan kelulusannnya.

“Kerajaan Negeri sedang meneruskan usaha-usaha ini seolah-olah semua kelulusan akan diberikan dan sebarang cabaran undang-undang terhadap projek itu akan diputuskan dengan berpihak kepada kerajaan negeri tanpa menghiraukan bantahan oleh pihak yang berkepentingan seperti Unit Nelayan Sungai Batu dan pertubuhan masyarakat sivil.

“Ini seperti mengejek penyertaan masyarakat sivil dalam membuat keputusan berhubung perkara yang melibatkan kepentingan awam dan proses perundangan untuk memastikan perlindungan alam sekitar dan keadilan sosial,” katanya.

CAP dan SAM juga menggesa Kementerian Pengangkutan tidak memberikan kelulusan kepada projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas memandangkan kos yang terlampau tinggi berbanding mod alternatif lain yang lebih murah, dan beban kewangan yang akan ditanggung generasi masa kini dan masa depan.

PSI melibatkan pembuatan 3 pulau bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion, yang termasuk laluan LRT, lebuh raya dan mod pengangkutan awam lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.