PRK Sandakan: SPR ingatkan bakal calon bawa resit deposit, patuhi peraturan semasa penamaan calon Sabtu

PRK Sandakan: SPR ingatkan bakal calon bawa resit deposit, patuhi peraturan semasa penamaan calon Sabtu

SPR menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Sandakan pada Sabtu ini di dewan aktiviti SMJK Tiong Hua Sandakan.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, perhatian khusus perlu diberikan kepada peruntukan di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) mengenai larangan semasa hari penamaan calon.
SANDAKAN:
Bakal calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang membayar deposit pilihan raya diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, calon yang mewakili mana-mana parti politik juga diperingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

Katanya, pada hari penamaan calon Sabtu ini, kertas penamaan calon boleh dikemukakan antara jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya oleh calon dan pencadang serta penyokong, atau mana-mana 2 orang atau seorang daripada mereka.

SPR berhasrat proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SPR juga menyeru semua calon dan parti politik yang terlibat sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon.

Beliau berkata, perhatian khusus perlu diberikan kepada peruntukan di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) mengenai larangan semasa hari penamaan calon.

Katanya, antara lain ialah larangan penggunaan apa-apa alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui apa-apa cara, termasuk menerusi penggunaan kenderaan dan vesel tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan.

Menurutnya, orang ramai serta penyokong parti dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.

Azhar berkata, jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen ini, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sepatutnya.

Parti politik terlibat bertanggungjawab mengawal penyokong masing-masing pada setiap masa untuk menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan dalam suasana yang selesa serta aman, katanya.

SPR menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Sandakan pada Sabtu ini (27 April) di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.