Kementerian siasat restoran popular caj 20 sen bagi cawan, pinggan

Kementerian siasat restoran popular caj 20 sen bagi cawan, pinggan

Pengurus Restoran Nasi Kandar Kayu Original Pulau Pinang mengakui 20 sen dikenakan bagi cawan dan pinggan plastik akibat gangguan bekalan air secara tiba-tiba semalam.

Resit menunjukkan caj 20 sen dikenakan bagi cawan dan pinggan plastik. (Gambar WhatsApp)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang menyiasat sebuah restoran terkenal mengenakan bayaran 20 sen bagi pinggan dan cawan plastik kepada pelanggannya.

Jurucakap kementerian itu berkata, penguat kuasanya sudah diarah ke Restoran Nasi Kandar Kayu Original Pulau Pinang di SS2 untuk menjalankan siasatan selepas gambar sekeping resit daripada restoran itu tersebar di WhatsApp menunjukkan caj 20 sen dikenakan bagi cawan dan pinggan plastik.

“Perkara ini berada dalam perhatian Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP apabila disebut oleh menteri (Saifuddin Nasution Ismail) selepas mesyuarat Kabinet hari ini,” kata jurucakap itu.

Pengurus restoran itu, Mohamad Sajahan ketika dihubungi FMT mengakui bayaran itu dikenakan kerana ketiadaan air semalam, sebelum sebahagian besar kawasan di Selangor mengalami gangguan bekalan air.

“Kira-kira 7 malam, tiba-tiba tiada air, jadi kami terpaksa menggunakan cawan dan pinggan plastik,” katanya sambil menambah pihaknya terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk membeli cawan, pinggan, sudu dan garfu plastik bagi kegunaan pelanggan.

“Tetapi, sekarang sudah ada sedikit air dan kami menggunakan cawan dan pinggan milik restoran seperti biasa. Tiada lagi caj dikenakan.”

Kira-kira 4 juta pengguna di Lembah Klang berdepan gangguan bekalan air mulai hari ini sehingga Sabtu ini, susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.