Rasuah pegawai imigresen, pemilik restoran nasi kandar didenda RM30,000

Rasuah pegawai imigresen, pemilik restoran nasi kandar didenda RM30,000

Warga Bangladesh, Rezaul Shajahan Ali, 37, didakwa memberi suapan RM10,000 kepada pegawai imigresen sebagai balasan untuk tidak diambil tindakan.

mahkamah sesyen ipoh
Pemilik restoran nasi kandar, Rezaul Shajahan Ali, 37, didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku salah memberi rasuah RM10,000 kepada pegawai imigresen.
PETALING JAYA:
Seorang pemilik restoran nasi kandar didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku salah memberi rasuah RM10,000 kepada pegawai imigresen.

Tertuduh yang juga warga Bangladesh, Rezaul Shajahan Ali, 37, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan atas pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Ibrahim Osman.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda terbabit, lapor Berita Harian

Mengikut pertuduhan pilihan, dia didakwa memberi suapan RM10,000 kepada pegawai imigresen di Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Persiaran Meru Utama, di sini, pada 3.30 petang, 12 September lalu.

Suapan itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap 13 pekerja tertuduh yang tinggal di Malaysia tanpa pas sah dan melebihi tempoh dibenarkan.

Kumpulan pekerja berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963, serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Akta 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sharul Azuan Ghazali dan Mohd Afiq Adnan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.