
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Mulmedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, Zamri difahamkan menghidap penyakit misteri dan pernah dirawat di sebuah hospital swasta di Ipoh.
Katanya, Zamri tidak dapat dikesan sejak Ogos 2018 dan kerajaan negeri pernah menghubungi ahli keluarganya, tetapi mereka enggan memberitahu penyakit atau di mana beliau berada atas alasan privasi.
“Kami di kalangan exco pun tidak dapat bertemu dengan beliau sehingga hari ini. Ada cubaan exco untuk ziarah, lawat tetapi memang tidak dapat bertemu.
“Kita tidak tahu perkara sebenar yang berlaku, tetapi difahamkan ada penyakit misteri yang kita belum dapat kepastian,” katanya selepas Majlis Sepetang Bersama Pemimpin Amanah di sini, hari ini.
Hasnul berkata, Zamri sudah menyerahkan satu sijil perubatan yang membolehkannya tidak hadir bertugas selama 60 hari.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong dilaporkan berkata, Zamri yang difahamkan tidak sihat tidak kelihatan selama beberapa bulan.
Ia menyebabkan kerajaan negeri terpaksa berbincang untuk mencari pengganti Zamri.
Yong hari ini berkata, mengikut undang-undang, datuk bandar layak mengambil cuti sakit selama 90 hari, tetapi beliau mendakwa Zamri sudah menggunakan semua cuti sakitnya.