Jagdeep kembali bertugas, tamat cuti sakit awal

Jagdeep kembali bertugas, tamat cuti sakit awal

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu mula bercuti pada 22 Julai dan dijadualkan kembali bertugas pada 10 Ogos.

jagdeep
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Jagdeep Singh Deo (tengah) dan eksekutif syarikat pada pelancaran kilang pembuatan Enovix Corporation.
GEORGE TOWN:
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo mula bertugas hari ini, dua hari sebelum cuti sakitnya yang dilanjutkan tamat.

“Saya seorang ‘workaholic’. Saya tak boleh hanya duduk di hospital tak buat apa-apa,” katanya kepada FMT pada majlis pelancaran kilang pembuatan Enovix Corporation.

Menurutnya, beliau turut singgah ke pejabatnya semalam.

Adun Datok Keramat itu, yang mula bercuti pada 22 Julai, pada mulanya dijadualkan kembali bertugas pada 5 Ogos.

Beliau bagaimanapun meminta lanjutan empat hari berdasarkan nasihat doktornya, yang diluluskan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Hari ini, Jagdeep berkata, kerja penting baginya dan beliau tidak boleh berlama-lamaan tidak bekerja.

“Jadi saya hadir di sini. Tengoklah sendiri, saya nampak sihat, kan?”

Jagdeep sebelum ini memberitahu FMT, beliau berada di Negeri Sembilan untuk mendapatkan pandangan kedua mengenai kecederaan buku lali yang menurutnya menyebabkan beliau merasakan sakit yang teruk selama beberapa bulan.

Katanya, beliau juga sedang mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur untuk psoriasis, sakit kulit yang menyebabkan tompokan mengelupas di seluruh badan.

Enovix Corporation, yang terlibat dalam teknologi bateri berprestasi tinggi, merancang melabur sejumlah USD1.2 bilion (RM5.8 bilion) di Malaysia dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.